Piala AFF: FAM Hantar Permohonan Ganti Penjaga Gol Positif Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah menghantar permohonan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) untuk menukar pemain di posisi penjaga gol skuad kebangsaan pada kempen kejuaraan Piala AFF 2020 di Singapura.

Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata permohonan itu telah dihantar semalam sebaik mendapat pengesahan berhubung dua pemain termasuk seorang penjaga gol skuad Harimau Malaya yang disahkan positif COVID-19 di sana.

Meskipun seorang lagi pemain yang dijangkiti beraksi di posisi sayap, Mohd Saifuddin berkata berdasarkan undang-undang pertandingan tiada sebarang penambahan dibenarkan selepas tarikh tutup pendaftaran pemain, kecuali pertukaran melibatkan posisi penjaga gol.

“Bukan tambah pemain tetapi kita minta untuk dapatkan penjaga gol sahaja. Sekarang kita cuma ada dua penjaga gol yang boleh beraksi, jadi kita nak tiga. Untuk posisi penjaga gol kita boleh mohon kebenaran menggantikan pemain sedia ada, itu memang mengikut lunas undang-undang pertandingan.

“Pemain lain tak boleh (tukar), memang dalam undang-undang pertandingan di FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) atau AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) begitu. Contohnya jika penjaga gol cedera kita kena sahkan dengan surat doktor baru pertukaran dibenarkan” katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, FAM mengesahkan penjaga gol Muhammad Khairulazhan Mohd Khalid dan pemain sayap Muhammad Faisal Abdul Halim disahkan positif COVID-19 selepas keputusan ujian saringan Polymerase Chain Reaction (PCR) yang dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Jumaat lepas.

Kedua-dua pemain tersebut yang tidak bergejala diarahkan menjalani kuarantin selama 10 hari mengikut protokol Kementerian Kesihatan Singapura, dengan ujian COVID-19 dilakukan pada setiap hari.

“FAM memantau rapat perkembangan dan tahap kesihatan mereka,” kata Mohd Saifuddin.

Beliau berkata sekiranya mendapat maklum balas positif daripada pihak penganjur, FAM akan menyerahkan kepada Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe untuk menentukan pemain yang dikehendaki.

Pada masa sama, Mohd Saifuddin berkata hanya penjaga gol yang berada dalam senarai awal pendaftaran pemain boleh dipanggil untuk menggantikan Muhammad Khairulazhan.

Selepas ketiadaan beliau, skuad Harimau Malaya kini hanya bergantung kepada Khairul Fahmi Che Mat dan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi di posisi penjaga gol. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,612FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat