Pemulangan aset 1MDB: PAC akan panggil Guan Eng, Tengku Zafrul

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil dua bekas Menteri Kewangan bagi melengkapkan prosiding berkenaan komitmen pemulangan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, dua bekas menteri tersebut, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Lim Guan Eng dijangka dipanggil pada minggu ketiga bulan ini.

Menurutnya, PAC pada Isnin lepas telah mengadakan prosiding mengenai Komitmen Pemulangan Aset 1MDB Dan Jaminan Pembiayaan Hutang syarikat tersebut.

Tambah beliau, Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Johan Mahmood dan Ketua Pasukan Petugas 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah memberi keterangan ketika prosiding berkenaan.

“Dalam prosiding yang mengambil masa selama dua jam, PAC telah mendengar mengenai usaha-usaha kerajaan dalam mendapatkan aset-aset 1MDB serta pembiayaan hutang 1MDB yang berjumlah RM9.456 bilion.

“Bagi melengkapkan prosiding ini, PAC akan memanggil Tengku Zafrul, bekas Menteri Kewangan (2021 – 2022) yang kini merupakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI); Guan Eng, bekas Menteri Kewangan (2018 hingga 2020); Asri, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (2020–2023); dan firma guaman RDS Partnership.

“Ia untuk memberikan penjelasan berhubung usaha mendapatkan aset 1MDB semasa mereka berada dalam Jawatankuasa Khas 1MDB. Prosiding dijangka akan diadakan pada minggu ketiga November 2024,” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen pada Rabu, lapor Astro Awani.

Dalam pada itu, beliau berkata, PAC telah mendengar keterangan dua individu berhubung Pengurusan Akaun Belum Terima Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Dua individu tersebut adalah Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan (MOF), Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.

“Prosiding ini akan disambung semula pada minggu ketiga November 2024,” katanya.

Katanya lagi, PAC juga membentangkan Laporan Tindakan Susulan Menteri Kewangan (Diperbadankan), Kementerian Kewangan Malaysia Dan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah Bagi Syor-Syor Laporan PAC Parlimen Berhubung Felcra Berhad pada Rabu.

“Orang ramai boleh membaca tindakan yang diambil oleh MOF dan FELCRA atas syor-syor laporan PAC berhubung Felcra yang telah dibentangkan pada 26 Jun 2024.

“Manakala esok, PAC akan membentangkan Laporan berhubung Majlis Profesor Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri setebal 278 mukasurat.

“Prosiding ini telah diadakan pada 1 Ogos 2024,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat