CYBERJAYA – Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan menyediakan bantuan tunai khas secara bulanan kepada isi rumah yang tidak berkemampuan menyertai aktiviti menjana pendapatan atas faktor umur dan kesihatan bagi membolehkan mereka melepasi pendapatan garis kemiskinan (PGK).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya berkata, bantuan tunai khas bulanan itu adalah di antara tiga cadangan yang dikemukakan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 6 di Putrajaya, hari ini.
Menurut beliau, mesyuarat MTEN hari ni juga menerima cadangan supaya semua agensi dan kementerian menyemak serta mengemaskini data untuk mengesahkan jumlah penerima isi rumah miskin tegar yang sudah dibantu dan menjana pendapatan melebihi PGK makanan dalam 2023.
“Semua agensi perlu mengenal pasti isi rumah yang boleh menyertai program dalam tempoh berbaki tiga bulan dan diserapkan dalam program yang ditawarkan mengikut kesesuaian.
“Bantuan tunai khas secara bulan akan dipertimbangkan untuk melepasi PGK makanan bagi isi rumah yang tidak berkemampuan menyertai aktiviti menjana pendapatan (atas faktor umur, kesihatan),” katanya, dipetik dari kenyataan selepas mesyuarat itu.
Tambah Perdana Menteri lagi, mesyuarat MTEN itu turut dimaklumkan mengenai status pelaksanaan dalam usaha menoktahkan miskin tegar serta cabaran-cabaran yang dihadapi.
Beliau berkata, banyak usaha dan program-program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha membasmi miskin tegar antaranya program terkait bantuan tunai bulanan, naik taraf kediaman, pemberian modal perniagaan, latihan kemahiran dan penjanaan pendapatan.
“Usaha-usaha ini telahpun dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi dalam usaha menarik keluar rakyat dari belengu miskin tegar,” katanya.