KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menggesa ahli-ahli Parlimen membuktikan diri mereka lebih baik berbanding budak sekolah sekiranya enggan nama dipaparkan gara-gara ponteng sidang Dewan Rakyat.
Exco Negeri Melaka itu juga menuntut semua ahli Parlimen menunjukkan disiplin yang baik dan layak menjadi teladan kepada rakyat.
“Jadi sepatutnya kena buktikan semua ahli Parlimen lebih baik dari budak sekolah.
“Bukan hanya terpekik terlolong dalam Prlimen berbahas dengan tidak matang dan isu yang tidak membantu rakyat sekalipun,” bidas beliau.
Mengulas lanjut, Dr Akmal menyatakan ahli-ahli Parlimen menggalas tanggungjawab untuk hadir dan berbahas di Dewan Rakyat.
“Kita minta budak-budak sekolah wajib hadir ke sekolah kerana itu tanggungjawab mereka,maka salah satu tanggungjawab ahli Parlimen adalah hadir dan berbahas dengan matang isu rakyat di Dewan Rakyat.
“Kepimpinan melalui teladan,kalau budak sekolah kita minta mereka ada disiplin,kenapa tidak kita.
Simple as that,” ujar beliau.
Sebelum itu media melaporkan, ahli-ahli Parlimen sama ada blok kerajaan dan pembangkang menyifatkan tindakan mendedahkan nama-nama individu yang sengaja ponteng ke Dewan Rakyat sebagai sama seperti layanan kepada budak sekolah.
Kata mereka, tindakan tersebut tidak wajar dilakukan kerana peranan wakil rakyat bukan sahaja hadir ke sidang mesyuarat tetapi juga merangkumi tugas besar terhadap pengundi dan kawasan dalam Parlimen yang diwakili.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, nama-nama ahli Parlimen yang didapati dengan sengaja tidak hadir atau ‘ponteng’ sidang Parlimen mungkin akan dipaparkan di laman web Dewan Rakyat supaya pengundi kawasan Parlimen mereka maklum perkara tersebut.
Menurut beliau , ia antara beberapa penambahbaikan yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan kehadiran ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pengundi serta kawasan Parlimen yang diwakili.
Katanya, cadangan itu akan dibincangkan oleh beliau dengan jawatankuasa Parlimen yang turut dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen daripada pihak pembangkang dan juga kerajaan.