Pastikan Sistem Keselamatan Siber Berada Tahap Yang Tertinggi

KUALA LUMPUR – UMNO menyarankan agar kerajaan sentiasa memastikan rangkaian sistem komputer sentiasa berada pada tahap yang tertinggi bagi memastikan keselamatan data dan maklumat peribadi selamat dari mana-mana anasir pengodam.

Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan berkata parti itu menyambut baik usaha kerajaan untuk membudayakan konsep tanpa kertas dalam perkhidmatan awam sebagai satu langkah pemodenan dalam urusan pentadbiran.

“Saya menyambut baik cadangan ini sebagai satu langkah pemodenan dalam urusan pentadbiran Kerajaan sejajar dengan peredaran zaman dan teknologi.

“Soal ancaman siber sentiasa wujud sama ada cloud storage atau physical server. Yang penting ialah sistem yang di aplikasikan meletakkan tahap keselamatan tinggi. Banyak syarikat antarabangsa dan tempatan yang mampu melaksanakan perkara tersebut, dengan kemaskini dari semasa ke semasa berasaskan ancaman penggodaman terbaru yang tidak akan terhenti. Itulah realiti dunia sekarang dan semua negara wajar menyesuaikan diri dengan realiti ini baik di peringkat sektor swasta mahupun awam,’ katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Terdahulu Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentang Bajet 2022 berkata kerajaan menyasarkan penggunaan 80 peratus ‘cloud storage’ dalam perkhidmatan awam pada tahun 2022 sebagai satu usaha untuk meningkatkan usaha penggunaan pengkomputeran awan bagi membudayakan konsep tanpa kertas.

Sementara itu Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhamad Rafii menggesa kerajaan untuk merangka satu langkah yang serius bagi memastikan tahap keselamatan sistem rangkaian internet dan data pengguna di negara ini terjamin.

Gesaan itu dibuat ekoran laporan media-media antarabangsa berhubung peningkatan kes pengodaman yang melibatkan data-data penting dan sulit terhadap beberapa agensi kerajaan dari pelbagai negara sebelum ini.

“Kita pun tak tahu siapa dalang sebenarnya di sebalik perkara ini, walau bagaimanapun ia harus di lihat sebagai satu isu yang penting kerana mampu menggangu gugat kedaulatan dan keselamatan negara, maka satu tindakan berjaga-jaga perlu dilakukan agar perkara yang sama seperti itu tidak berlaku di negara ini.

“Ini pastinya akan memberi impak kepada negara jadi program keselamatan siber (cybersecurity) kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia sepatutnya lebih berjaga-jaga dengan memastikan tahap keselamatan pelayan komputer (server) yang berkepentingan tinggi seperti KDN dan sebagainya berada pada tahap cukup terkawal,” ujarnya.

Mohd Razlan turut mencadangkan agar satu bajet khas di digunakan bagi meningkatkan keupayaan ‘keselamatan siber’ (cyber security) khususnya yang melibatkan data dan rahsia kerajaan.

“Satu bajet khas untuk Cybersecurity sepatutnya diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi meningkatkan keupayaan dan keselamatan data negara.

“Projek khas berkaitan ‘Cyber Security’ ini penting kerana ia merupakan satu pelan awal dan langkah berjaga-jaga kerana kita pun tidak tahu bila negara ini akan di serang para pengodam siber. Di bawah program ini kerajaan boleh mengawal sekaligus meningkatkan keupayaan keselamatan data dan maklumat sulit negara,’ katanya lagi.

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebelum ini melaporkan hampir 84 peratus perusahaan kecil dan sederjana ((PKS) di negara ini telah diserang dan menerima ancaman siber.