KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendedahkan setakat ini sebanyak 427 hektar tanah milik kerajaan negeri diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.
Memetik laporan Bernama, beliau memberitahu, daripada jumlah itu, 40 hektar tanah diceroboh di daerah Petaling, Klang (86 hektar), Gombak (32 hektar), Hulu Langat (33 hektar), Sepang (29 hektar), Kuala Langat (142 hektar), Kuala Selangor (40 hektar), Hulu Selangor (20 hektar) dan Sabak Bernam (satu hektar).
“Kesemua kegiatan pencerobohan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu telah dikeluarkan notis mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 untuk tindakan selanjutnya,” katanya semasa menjawab pertanyaan Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (PH-Meru), mengenai keluasan tanah kerajaan negeri yang telah diceroboh dan jenis aktiviti yang dilakukan di atas tanah berkenaan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Amirudin menjelaskan, majoriti aktiviti pencerobohan di atas tanah kerajaan negeri itu adalah berkaitan pertanian, namun lama-kelamaan ia melibatkan mendirikan struktur binaan seperti stor dan perumahan malah terdapat juga kegiatan pembuangan sampah haram.
Bagi pembinaan rumah tanpa kebenaran di tanah yang diceroboh, beliau berkata kerajaan Selangor telah melakukan usaha pemutihan sejak 2008 dan memberi ruang pemilikan tanah-tanah kosong lain di negeri itu dengan harga pasaran semasa.