KUALA LUMPUR, – Insiden penghidangan arak dalam satu majlis rasmi kerajaan baru-baru ini terus mencetuskan gelombang kecaman hebat, terutama dalam kalangan Pemuda UMNO yang menyifatkan kejadian itu sebagai satu penghinaan terhadap Islam serta mencerminkan kegagalan serius dalam kepimpinan kerajaan.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad, dalam satu kenyataan tegas mengecam tindakan tersebut yang dikatakan berlaku dalam majlis rasmi yang turut dihadiri Menteri Pelancongan.
Beliau menyifatkan insiden itu bukan sekadar kecuaian protokol tetapi lambang kegagalan moral dan pentadbiran Menteri Pelancongan dalam menjaga maruah serta sensitiviti agama Islam yang menjadi agama Persekutuan.
“Tindakan membenarkan arak dihidangkan dalam majlis rasmi kerajaan tidak boleh diselindung di sebalik alasan penajaan atau kesilapan teknikal. Menteri bertanggungjawab sepenuhnya dan perlu tampil memberi penjelasan kepada rakyat,” tegas Mohd Farhan.
Beliau turut membangkitkan persoalan tentang peranan penaja swasta dalam penganjuran majlis rasmi kerajaan, menyifatkannya sebagai satu petanda kelemahan tadbir urus dan ketelusan di peringkat kementerian.
Dalam nada yang sama, Pemuda UMNO menggesa Perdana Menteri agar mengambil tindakan tegas terhadap Menteri Pelancongan, selain mencadangkan agar satu siasatan dalaman dijalankan dan garis panduan khusus digubal untuk melarang sebarang bentuk penyediaan arak dalam program rasmi kerajaan di masa akan datang.
Farhan turut menyatakan kebimbangan terhadap sikap sesetengah pihak yang mempertahankan insiden ini atas nama “toleransi” dan “kemodenan”, menyifatkan pandangan sebegitu sebagai “kejahilan disengajakan” yang mencemarkan imej negara dan mengguris perasaan umat Islam.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk, Muhammad Nabil Saleh, turut mengecam kenyataan Datuk Teng Chang Khim yang dilihat menyindir isu ini secara sinis. Beliau menyifatkan sindiran Teng sebagai “biadab, angkuh dan tidak menghormati sensitiviti umat Islam.”

“Sindiran seperti ‘yang minum tak mabuk, yang tak minum mabuk’ memperlihatkan kebodohan politik dan hilangnya adab seorang yang kononnya bergelar pemimpin,” ujar Nabil dalam kenyataan berasingan.
Beliau turut menegaskan bahawa isu arak bukan bahan gurauan politik murahan, sebaliknya melibatkan soal maruah agama dan bangsa.
“Politik bukan lesen untuk menjadi biadab. Bila maruah pemimpin dan agama dihina, kami tidak akan berdiam diri,” tambah beliau, memberi amaran bahawa kesabaran orang muda UMNO ada batasnya.
Islam Tidak Boleh Dikompromi Demi “Imej Pelancongan”
Kedua-dua pemimpin Pemuda UMNO ini turut menegaskan bahawa kemajuan pelancongan negara tidak boleh dijustifikasikan dengan menggadaikan prinsip Islam. Menurut mereka, dunia lebih menghormati Malaysia jika negara berpegang teguh kepada nilai agama dan moral, berbanding tunduk kepada tekanan komersial atau imej antarabangsa.
Pemuda UMNO menyeru kerajaan agar segera mengambil tindakan tegas bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti pentadbiran, serta memastikan perkara seperti ini tidak berulang.-SUARA.TV



