Manickam letak jawatan dalam MIC, kecewa arahan adakan semula mesyuarat perwakilan

- Advertisement -

JEMPOL – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk L Manickam meletakkan semua jawatannya dalam MIC termasuk sebagai Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Ketua MIC Bahagian Jempol dan ahli parti itu berkuat kuasa Jumaat.

Perkara itu dimaklumkan Manickam dalam Facebook miliknya dan menjelaskan pucuk pimpinan MIC kebangsaan mengetahui punca beliau berbuat demikian.

Bagaimanapun, Manickam secara terbuka berkongsi dua sebab utamanya meletakkan jawatan tersebut.

Katanya, ia berkaitan keputusan MIC untuk tidak bertanding di DUN Jeram Padang dan kecewa dengan tindakan Setiausaha Agung MIC yang meminta pihaknya mengadakan mesyuarat perwakilan sekali lagi atas sebab tiada korum.

“Saya mohon maaf atas keputusan yang terpaksa saya ambil ini. Saya memang berasa berat hati untuk meninggalkan MIC yang telah menjadi rumah kedua saya sejak 45 tahun lepas.

“Saya ingin menjelaskan bahawa sepanjang saya berkhidmat dengan memegang jawatan dalam MIC dan kerajaan, saya telah amalkan sikap amanah, bersih dan bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, Manickam turut menzahirkan ucapan terima kasihnya kepada Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran atas sokongannya selama ini.

“Saya juga menghargai bantuan dan pertolongan yang diberi oleh bekas Presiden MIC, mendiang Tun Samy Vellu. Tanpa beliau tidak mungkin saya menjadi ketua cawangan MIC termasuklah Datuk Seri G Palanivel dan Datuk Seri S Subramaniam serta semua pihak yang memberi sokongan kepada saya,” katanya.

Manickam menyertai MIC melalui cawangan Jenjarom, Kuala Langat, pada tahun 1979.
Sejak itu beliau memberikan khidmatnya kepada masyarakat India melalui MIC.

Selain itu, beliau merupakan bekas ADUN Jeram Padang selama dua penggal dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Sembilan (Exco) dari tahun 2013 hingga 2018. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat