KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN bersetuju memberi cuti sementara kepada Timbalan Presiden parti, Nurul Izzah Anwar, bermula selepas Kongres Nasional 2026 sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Fahmi Fadzil, keputusan itu dibuat selepas MPP menerima permohonan Nurul Izzah untuk mengundurkan diri daripada jawatan berkenaan serta mendengar pandangan beliau dan barisan kepimpinan parti.
Sehubungan itu, MPP memutuskan Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, akan menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden secara sementara sepanjang tempoh cuti tersebut.
Pada masa sama, MPP turut bersetuju melantik Naib Presiden, Datuk Seri Amirudin Shari, sebagai Pengarah Pilihan Raya KEADILAN.
Fahmi berkata, MPP turut menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, selain merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera parti yang telah bekerja sepanjang kempen.
MPP juga menzahirkan penghargaan kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, atas perkhidmatan cemerlang beliau sepanjang dua penggal menerajui pentadbiran negeri itu.
Dalam perkembangan lain, Nurul Izzah dijadual merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN pada 14 Ogos ini sempena Kongres Nasional 2026.
Selain itu, MPP meluluskan kemasukan 3,533 anggota baharu yang mendaftar secara dalam talian bagi tempoh 12 Julai hingga Ogos 2026.


