Pentas Teater 2023 Uji Kemampuan Pelajar Tahun Akhir FMSP, UPSI

- Advertisement -

TANJUNG MALIM – Kebanjiran pementasan teater di Malaysia ibarat cendawan tumbuh selepas hujan terutamanya dalam tempoh selepas pasca pandemik.

Hal ini kerana kerancakan dunia pementasan teater yang semakin berkembang menuju pembentukan industri boleh pasar kepada industri kebudayaan danjuga kesenian.

Ini jelas, terutamanya pada peringkat akar umbi meliputi bidang akademik iaitu pelajar-pelajar dalam bidang seni persembahan terutamanya teater.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut merancakkan perkembangan ini apabila dua pementasan mega di bawah Projek Akhir Teater (PenTAS) akan dipentaskan iaitu pementasan Teater Kala Malam Anjing Melolong arahan Fahim Fuad karya Adieyka Zainal pada 7, 8 & 9 Julai 2023 dan pementasan Teater Legenda Mahsuri arahan Faizal Ruhaijat karya Afiq Rahim pada 14, 15 & 16 Julai 2023.

Bertempat di Panggung Budaya, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) UPSI, dua pementasan mega ini merupakan penilaian akhir yang menjadi syarat utama kelayakan bergraduat bagi pelajar program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Teater).

Sehubungan itu, kualiti persembahan telah diamati dan diteliti bermula daripada pembelajaran awal untuk tempoh tiga (3) tahun berada di universiti meliputi aspek-aspek teaterikal mengikut komponen seperti pengarahan, lakonan, sinografi, pengurusan produksi, pengurusan pentas dan hal-hal berkaitan seni pentas.

Naque Ariffin pensyarah di Jabatan Seni Persembahan UPSI

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pensyarah penyelaras di Jabatan Seni Persembahan Naque Ariffin, pelajar-pelajar ini dipersiapkan untuk keperluan industri setelah menamatkan pelajaran nanti.

“Kami di FMSP mempersiapkan pelajar-pelajar ini untuk menempuh alam pekerjaan sebenar.

Hal ini akan membuktikan bahawa mutu pengajian dan pembelajaran di Jabatan Seni Persembahan akan menjadi pilihan berdasarkan mutu persembahan yang akan dipentaskan.

‘’Pelajar mempunyai peluang besar untuk mempamerkan kemampuan diri sebagai pelakon, pengarah, pengurusan dan pereka dalam bidang teater serta keberkesanan pembelajaran mereka dalam bidang seni teater.

“Semoga bakal seniman-seniman ini menjadi pemangkin untuk menyumbang kepada pembentukan masyarakat dan pembinaan tamadun manusia, kerana teater itu memanusiakan manusia”, katanya.

Walaupun bagaimanapun jelasnya pementasan ini bukanlah semata-mata untuk melayakkan seorang pelajar itu bergraduasi.

Namun katanya ia melihat kepada hubungannya dalam pembentukan dan pembangunan insaniah, psikomotor, dan afektif diri individu khususnya pelajar.

Selain itu, pementasan ini juga menjadi platform kepada pembangunan bakat yang boleh menjana kepada kebolehpasaran graduan selari dengan hasrat negara menghasilkan sumber manusia berkualiti.

Fahim Fuad pelajar tahun akhir Jabatan Seni Persembahan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan yang akan mengarahkan Teater Kala Malam Anjing Melolong

Bagi pelajar yang dinilai iaitu Fahim Fuad (pengarah Teater Kala Malam Anjing Melolong) dan Faizal Ruhaijat (pengarah Teater Legenda Mahsuri) mereka begitu teruja dengan hasil kerja yang akan dipertontonkan kelak.

Menurut Fahim Fuad, beliau akan menggunakan segala ilmu yang dipelajari sepanjang di UPSI.

“Saya sangat teruja dengan pengalaman mementaskan teater untuk PenTAS 2023. Saya juga terharu dengan sokonan yang diberikan oleh pensyarah penyelia, Dr Farah Dayana, Dr Bayu Tejo dan En Zolkipli Abdullah sangat membantu sepanjang proses latihan selain rakan-rakan yang lain.

“Saya akan pastikan kerja-kerja ‘berteater’ takkan tamat hanya di alam universiti ini sahaja. Saya akan mengaplikasikan segala ilmu yang dipelajari.

“Ini bidang pilihan saya, saya akan berusaha mempertahankan pilihan ini.” katanya.

Faizal Ruhaijat pelajar Jabatan Seni Persembahan Pengarah Teater Legenda Mahsuri

Menurut Faizal Ruhaijat pula, sepanjang proses pra-tonton bersama pensyarah sebelum bermulanya persembahan sebenar, beliau banyak belajar dari komen-komen membina yang diberikan.

“Tidak semua ilmu itu diambil dari bilik kuliah. Kadang-kadang apabila berada di lapangan (pentas) sebenar, baru kita boleh nampak bagaimana teori dan praktikal itu digabungkan diatas pentas.

“Teater adalah kerja kolektif, kami menerima pandangan dari ahli bidang untuk memastikan pementasan yang akan di pentaskan kelak sudah cukup masak dan diterima khalayak.” Katanya.

Oleh yang demikian saksikan pementasan ini sekali gus menyokong produktiviti karya-karya pelajar yang terlibat dalam pementasan Teater Kala Malam Anjing Melolong pada 7, 8 & 9 Julai 2023  dan pementasan Teater Legenda Mahsuri pada 14, 15 & 16 Julai 2023 bertempat di Panggung Budaya, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), UPSI.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat