KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan mengurangkan kira-kira 10 peratus daripada tenaga kerjanya atau lebih 5,000 orang susulan penstrukturan semula syarikat secara menyeluruh.
Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, langkah itu terpaksa diambil bagi mengurangkan kos susulan kejatuhan harga minyak mentah.
Jelas beliau, semua pihak yang terlibat dengan penstrukturan semula itu akan dimaklumkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Tengku Muhammad Taufik menegaskan, syarikat petroleum dan gas negara itu juga akan membekukan kenaikan pangkat serta pengambilan pekerja baharu sehingga Disember tahun depan.
“Margin semakin mengecil, medan minyak pula semakin kecil.
“Ia akan menjadi satu cabaran untuk memenuhi sasaran dividen dengan harga minyak semasa,” katanya dalam satu taklimat semalam.
Memperincikan lebih lanjut beliau memberitahu, Petronas menetapkan bajet berdasarkan harga minyak mentah Brent sekitar AS$75 (RM318.41) hingga AS$80 setong.
Penanda aras global itu kini diniagakan hampir AS$65, turun kira-kira 13 peratus tahun ini, susulan ketegangan perdagangan yang mengancam pertumbuhan global serta peningkatan semula pengeluaran oleh OPEC+.
Pendapatan bersih Petronas merosot sebanyak 32 peratus pada tahun 2024, selepas mencatatkan penurunan 21 peratus pada tahun 2023.
Kejatuhan harga minyak, ditambah pula dengan penurunan hasil daripada aset lama Petronas akan menjadi cabaran kepada kerajaan yang menerima 10 peratus daripada hasilnya menerusi Petronas pada tahun 2024.
Syarikat minyak dan gas itu bukan sahaja menjadi tunjang kepada sektor tenaga negara, malah memainkan peranan penting dalam membiayai infrastruktur, pendidikan, dan program sosial melalui dividen dan cukai.
Pada taklimat media yang sama Tengku Muhammad Taufik sekali lagi menegaskan, Petronas tidak akan meninggalkan Kanada.
“Kanada tidak berada dalam radar keluar. Kami tidak akan meninggalkan Kanada. Kami akan terus mencari pendekatan baharu dan menerima sebarang kertas cadangan.
“Ini adalah sesuatu yang semula jadi dalam perniagaan dan (Kanada) merupakah sebuah negara sangat-sangat kaya dengan sumber asli,” katanya.