KUALA LUMPUR – Pemuda Umno menolak pelawaan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bersama di bawah payung besar yang dinamakan Sekretariat Orang Melayu.
Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh menghargai pelawaan bekas Perdana Menteri itu namun tidak melupakan bahawa orang sama juga pernah berhasrat mengharamkan Umno.
“Tetapi orang yang sama juga mahu mengharamkan Umno ketika mereka berada di tampuk kuasa. Kini bila tiada kuasa,lain pula gayanya.
“Terima kasih Tun,kami menghargai pelawaan Tun, tetapi kami masih tidak lupa apa yang terjadi.
“Nak bersatu bangsa ini,biarlah datang dari hati yang ikhlas kerana sayangkan agama,bangsa bukan hanya semata-mata ingin mendapatkan jawatan untuk diri sendiri,” tempelak Dr Akmal.
Gerakan terbaharu orang Melayu ini menurut Dr Mahathir adalah satu langkah untuk mengembalikan kuasa politik dan cabaran yang dihadapi orang Melayu.
Jelas bekas Presiden Umno itu lagi, sekretariat itu bersifat terbuka dan merentasi sempadan politik, di mana mana-mana individu Melayu termasuk ahli parti lain boleh menyertainya asalkan bersetuju dengan matlamat untuk memperjuangkan kedudukan orang Melayu.
“Saya tidak ajak Umno tetapi ajak orang Melayu. Kalau mereka bersetuju dengan usaha ini, kita terima.
“Ini bukan soal parti, tapi soal bangsa Melayu yang kini sedang menghadapi pelbagai masalah,” katanya.
Terdahulu, Dr Mahathir mengadakan perbincangan berkenaan penubuhan sekretariat itu bersama-sama beberapa pemimpin antaranya Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.