Kerajaan MADANI Komited Lindungi Luar Bandar, Perkukuh Sektor Halal dan TVET Hadapi Tarif AS – Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan sokongan padu terhadap langkah proaktif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Sidang Khas Parlimen bagi menangani dampak tarif balas yang dikenakan Amerika Syarikat ke atas Malaysia. 

Menurut beliau, penubuhan National Geo Economic Coordination Centre mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk mempertahankan kepentingan negara serta memastikan daya saing Malaysia kekal kukuh di peringkat antarabangsa.

“Sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, saya memandang serius cabaran ketidaktentuan perdagangan global yang memberi kesan kepada komuniti desa yang banyak bergantung kepada sektor E&E, kelapa sawit, getah dan pertanian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Zahid turut menegaskan bahawa inisiatif membuka pasaran baharu di ASEAN, Timur Tengah, Mesir, Pakistan dan Kemboja amat penting bagi melindungi pendapatan penduduk luar bandar yang terkesan.

Beliau turut menyambut baik peruntukan RM1 bilion bagi menaik taraf sempadan Sabah dan Sarawak Kalimantan serta peningkatan had sebut harga projek kerajaan daripada RM1 juta kepada RM3 juta yang dijangka mempercepat pembinaan infrastruktur asas dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan pedalaman.

Dalam sektor Halal, Zahid berkata Malaysia kekal sebagai peneraju industri global dengan eksport bernilai RM61.79 bilion pada 2024, namun mengakui risiko kelembapan ekonomi global susulan dasar tarif AS yang boleh menjejaskan permintaan antarabangsa.

Beliau menjelaskan KKDW bersama MATRADE dan HDC akan terus memperluas akses pasaran luar kepada usahawan Halal, khususnya di luar bandar, dengan bantuan peruntukan RM50 juta.

Menyentuh bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Zahid menegaskan keperluan memperkukuh institusi TVET tempatan, khususnya dalam bidang AI, teknologi hijau dan pendigitalan, agar lebih ramai belia desa dapat terlibat dalam sektor bernilai tinggi.

“Malaysia kini berada pada landasan kukuh dengan pertumbuhan KDNK 5.1% pada 2024, defisit fiskal menurun, dan inflasi terkawal. Kerajaan kekal komited melaksanakan reformasi tanpa menjejaskan hak Bumiputera dan sektor strategik negara,” katanya.

Zahid mengakhiri kenyataan dengan menyeru rakyat memupuk solidariti nasional dan bersama-sama menjayakan agenda pembaharuan Ekonomi MADANI demi masa depan Malaysia yang makmur, inklusif dan berdaya tahan.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat