KUALA LUMPUR – Desakan ketika kemuncak pemilihan PKR di mana meminta Datuk Seri Rafizi Ramli memberi laluan kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk mengisi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dinilai sebagai cubaan memecahbelahkan kesatuan dalam parti itu.
Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Sabah Fekirie Gobet berkata, gesaan seumpama disifatkan sebagai tidak wajar hal ini kerana hubungan kedua-dua pemimpin berkenaan dalam parti adalah sangat baik serta sudah beberapa kali bertemu bagi membincangkan isu pemilihan PKR.
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menambah, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sudah beberapa kali memaklumkan supaya Rafizi diberikan laluan mudah pada pemilihan kali ini.
Tambah beliau, penegasan Anwar itu membayangkan beliau mahu Saifuddin Nasution berlapang dada dan tidak bertanding bagi jawatan tersebut.
“Tidak dinafikan sebagai sebuah parti yang mengamalkan demokrasi, setiap anggota boleh mengambil bahagian untuk bertanding bagi jawatan yang mereka layak.
“Namun, presiden sebelum ini jelas menyatakan rundingan juga sebagai sebahagian daripada proses demokrasi.
“Setiap pemilihan pasti akan ada pihak yang tidak berpuas hati, namun kita melihat semua pihak masih mampu mengawal keadaan termasuk mereka yang tewas pada pemilihan kali ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, Ketua Cabang PKR Titiwangsa Syed Badli Shah Syed Osman mencadangkan Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri diberi laluan mudah untuk menjawat jawatan Timbalan Presiden PKR.
Kata Syed Badli, dalam perkembangan sekarang yang menyaksikan wujud spekulasi membabitkan Rafizi, beliau dicadang supaya berkompromi dengan memberi laluan mudah kepada Saifuddin Nasution bagi menggalas tugas sebagai Timbalan Presiden tanpa perlu dicabar.
Sementara itu, Fekirie turut menyifatkan Rafizi yang juga Menteri Ekonomi merupakan seorang yang sangat aktif dan berjaya dalam menjalankan amanah yang diberikan kepadanya.
Kata beliau, Rafizi yang jarang mengambil cuti juga memerlukan masa untuk berehat apatah lagi umum mengetahui beliau mempunyai beberapa masalah kesihatan.
“Walaupun cuti Rafizi panjang, namun saya dimaklumkan hari ini beliau telah kembali berkerja memandangkan banyak keperluan yang memerlukan beliau sendiri hadir selaku Menteri Ekonomi.
“Inilah Menteri yang rajin bekerja dan patut dijadikan contoh, bukan difitnah,” katanya.