KUALA LUMPUR – Peniaga belon, Muhammad Za’imuddin Azlan, atau lebih dikenali sebagai Abang Belon, dilaporkan berisiko mengalami lumpuh kekal susulan kecederaan tulang belakang yang didakwa berpunca daripada kekasaran oleh penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 28 Mac lalu.
Menurut pengamal perubatan swasta, Dr Mohd Hafidz Rizal, kecederaan yang dialami Za’imuddin diklasifikasikan sebagai “T12 compression”, satu kecederaan serius pada tulang belakang yang boleh memberi komplikasi jangka panjang.
“Komplikasi yang paling kita risau ialah risiko lumpuh. Kini pesakit mula menunjukkan tanda-tanda seperti kebas dan tidak dapat mengawal kencing,” jelas Dr Hafidz dalam sidang media yang diadakan selepas Za’imuddin membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, hari ini.
Tambahnya, Za’imuddin sepatutnya menjalani pembedahan inguinal hernia (angin pasang) pada 18 April ini, namun terpaksa ditangguhkan disebabkan kecederaan tersebut.
Pihak perubatan mengesyorkan agar beliau tidak melakukan sebarang kerja berat dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan bagi memberi ruang kepada proses pemulihan.
Dalam sidang media sama, peguamnya Muhammad Rafique Rashid Ali memaklumkan pihaknya sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap DBKL.
“Benar, Za’imuddin tidak mempunyai lesen. Tapi adakah wajar layanan kasar sebegitu dikenakan ke atasnya?” soal Rafique.
Beliau menegaskan bahawa sebarang tindakan undang-undang hanya akan diambil selepas laporan perubatan lengkap diperoleh.
Za’imuddin hadir ke sidang media itu dalam keadaan berkerusi roda dan ditemani kedua ibu bapanya.