KUALA LUMPUR – Kadar inflasi Malaysia pada Januari 2023 mereda kepada 3.7 peratus berbanding 3.8 peratus pada Disember 2022 seperti mana yang diumumkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 24 Februari 2023.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, kenaikan inflasi bagi bulan
Januari 2023 ialah 0.2 peratus, berkadaran sama dengan yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
“Kenaikan inflasi bagi bulan Januari 2023 masih didorong oleh peningkatan kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol, namun ianya telah menyederhana kepada 6.7 peratus, berbanding 6.8 peratus pada bulan sebelumnya.
“Dua lagi kumpulan dalam kelompok tiga wajaran tertinggi turut menyederhana atau mencatatkan kadar yang sama, iaitu Kumpulan
Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (kekal 1.5 peratus) dan Kumpulan Pengangkutan yang mereda kepada 4.0 peratus berbanding 4.9 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Untuk rekod pada Ogos 2022 kadar inflasi dicatatkan 4.7 peratus, September 2022 sebanyak 4.5 peratus; Oktober 2022 sebanyak 4.0 peratus manakala November 2022 kekal 4.0 peratus dan pada Disember 2022 3.8 peratus.
Sementara itu, Rafizi juga memberitahu kementerian juga meneliti kenaikan harga barang sewaktu musim Tahun Baru Cina.
“Pertumbuhan bulan ke bulan pada tahun 2023 (0.2 peratus) adalah rendah berbanding tahun 2021 (0.3 peratus) dan 2022 (0.24 peratus).
“Hal ini amat menggalakkan kerana membuktikan bahawa Malaysia telah berjaya meredakan kadar kenaikan harga di samping kekangan rantaian bekalan global (‘global supply chain constraints’) dan lonjakan permintaan bermusim (‘seasonal spike in demand’),” ujarnya.
Di samping itu katanya, Program Penyeragaman Harga (PPH) diteruskan oleh kerajaan bagi menyeragamkan harga 7 barangan asas yang terlibat iaitu beras putih, gula, minyak masak 1 kilogram, tepung gandum, LPG, petrol RON95 dan diesel bagi memastikan bekalan barangan tersebut sampai kepada penduduk di kawasan luar bandar/pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Pelaksanaan program ini akan membolehkan semua rakyat membeli barangan keperluan pada harga yang seragam.
“Bagi menstabilkan harga makanan pada paras yang mampu beli, kerajaan sedang menggunakan strategi pelbagai serampang yang mempengaruhi
seluruh rantaian makanan, daripada bahan mentah sehinggalah ke makanan di luar rumah.
“Inisiatif seperti Menu Rahmah dan Inisiatif Pendapat Rakyat (IPR) yang membekalkan makanan siap pada harga RM2 bukan sahaja memberi pilihan yang murah kepada pengguna, malah mendorong persaingan yang lebih segar di pasaran.
“Mutu inisiatif ini sudahpun mula dilihat. Sebagai contoh, inflasi IHP bagi komponen Makanan di Luar Rumah telah mereda buat pertama kali sejak Ogos 2021, daripada 9.6 peratus pada bulan Disember 2022 ke 9.3 peratus pada Januari 2023,” kata beliau.
Tambah Rafizi kerajaan akan memastikan kesinambungan usaha sebegini agar terus meringankan beban rakyat.