KUALA LUMPUR – Semakan kehakiman terhadap keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan dibuat kerana difahamkan jabatan itu meluluskan usul tambahan tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi parti pada pemilihan Umno kali ini.
Ahli Umno Kuala Nerus, Aizat Fikri Nasir Fikri berkata, sejujurnya dia agak kecewa dengan tindakan ini memandangkan kerajaan dan kepimpinan hari ini yang dikatakan sangat mengangkat kedaulatan undang-undang atau ‘Rule of Law’, telah menggunakan kuasa bagi memastikan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingan sebagaimana yang sepatutnya dijalankan melalui proses demokrasi.
“Saya minta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil serius tentang isu ini kerana ianya boleh mencalarkan kredibiliti kepimpinan kerajaan yang diterajui beliau, hal ini boleh menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap sistem dan agensi penguatkuasa kerajaan.
“Saya akan berbincang dengan rakan saya saudara Fiqri Firdaus Muhammad Rom dan juga peguam kami bagi mempertimbangkan semakan kehakiman terhadap keputusan RoS tersebut,” tegasnya dalam kenyataan pada Isnin.
Aizat Fikri berkata demikian berikutan keputusan RoS yang diumumkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam.
Dia berpendapat dan percaya RoS telah menjalankan siasatan yang adil dan menyeluruh berkenaan isu ini.
“Walaubagaimana pun, terdapat satu kebimbangan yang timbul melalui pengecualian (Seksyen 70) yang telah diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), di mana saya melihat pengecualian tersebut boleh disalahgunakan untuk membetulkan segala ketidakaturan (irregularities) yang telah dilakukan oleh mana-mana pertubuhan yang ditubuhkan di bawah akta tersebut.
“Secara tidak langsung, pengecualian ini telah mengesahkan ketidakaturan yang sememangnya wujud di dalam proses mengangkat usul tambahan tersebut.
“Secara logiknya jika tiada pelanggaran di bawah Seksyen 13(1)(c)(4), makanya Seksyen 70 tidak perlu digunapakai oleh KDN. Pihak ROS boleh menghantar surat memaklumkan tiada pelanggaran telah berlaku,” katanya.
Kelmarin, Zahid memaklumkan Umno telah menerima surat daripada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengenai keputusan RoS pada Jumaat.
Ekoran itu, Umno akan menerbitkan surat daripada RoS yang meluluskan usul tambahan parti itu agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertanding pada pemilihan tahun ini.
Zahid berkata beliau akan meminta Setiausaha Agung parti Datuk Seri Ahmad Maslan berbuat demikian untuk makluman kepada semua ahli.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata penerbitan surat tersebut diharap dapat menamatkan polemik berkaitan usul yang diluluskan semasa Perhimpunan Agung Umno 2022 pada Januari lepas.