KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengumumkan penyertaan beberapa syarikat baharu dalam industri pemeriksaan berkala kenderaan motor esok.
Ini selepas kerajaan memutuskan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tidak lagi menjadi badan tunggal menawarkan perkhidmatan itu.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, langkah itu sekali gus bakal mewujudkan persaingan lebih sihat dari segi tawaran perkhidmatan, lantas meningkatkan mutu dan integriti dalam industri pemeriksaan kenderaan di negara ini.
“MOT telah mendapat kelulusan dari Jemaah Menteri untuk menamatkan dasar konsesi atau dasar monopoli kepada Puspakom pada tahun lalu.
“Ketika ini, Puspakom tidak lagi memiliki konsesi. Kita (cuma) berikan kepada mereka adalah satu lesen sahaja untuk beroperasi.
“Apa yang kita hendak laksanakan (ketika ini) ialah kita membuka pasaran pemeriksaan kenderaan ini kepada lebih banyak pengusaha lain dan kita telah buat penilaian.
“Esok saya akan mengumumkan beberapa syarikat baharu yang akan diberikan kelulusan untuk membuka pusat pemeriksaan ini. Saya akan umumkan di MOT (di Putrajaya),” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Khamis, lapor BH.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang bertanyakan mengenai sejauh manakah amalan membenarkan satu monopoli kepada sesuatu syarikat boleh memberi kesan terhadap tahap keselamatan kenderaan.
Mengulas kaitan monopoli yang dikhuatiri boleh menjejaskan tahap keselamatan kenderaan diperiksa, Loke percaya kemungkinan faktor itu boleh mengundang implikasi terhadap mutu perkhidmatan pemeriksaan kenderaan.
“Saya tidak mahu menimbulkan (dakwaan wujud) sindiket atau isu rasuah ini berhubung kait dengan dasar monopoli.
“Tetapi secara umumnya memang kita rasa bahawa kalau sesuatu industri itu ada unsur monopoli, ia kadangkala akan menjejaskan mutu perkhidmatan. Itu sebabnya kita menggalakkan ada persaingan,” katanya.