Tiga Adun Warisan Keluar Parti, Umum Sokong Hajiji

- Advertisement -

KOTA KINABALU – Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parti Warisan (Warisan) hari ini mengumumkan keluar parti dan menjadi Adun Bebas yang menyokong kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Adun terbabit ialah Mohammad Mohamarin (Banggi), Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) dan Norazlina Arif (Kunak).

Menerusi satu kenyataan bersama, mereka menyatakan mengambil keputusan itu dengan harapan dapat meneruskan khidmat yang baik kepada rakyat di kawasan masing-masing.

“Setelah memperhalusi pelbagai aspek dari segenap sudut pertimbangan termasuklah selepas mengambil kira hala tuju gabungan parti dan pandangan akar umbi di kawasan yang kami wakili, maka kami dengan ini mengisytiharkan keluar Warisan.

“Dengan ini, kami memilih berkhidmat sebagai Adun Bebas serta menyatakan sokongan kepada Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah dengan harapan agar kami dapat meneruskan khidmat baik kepada masyarakat yang kami wakili,” kata mereka.

Menerusi kenyataan itu juga, mereka mengucapkan jutaan terima kasih dan memohon kemaafan kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, rakan serta penyokong parti berkenaan.

Serentak dengan pengumuman itu juga, mereka bertiga melepaskan semua jawatan dalam parti sama ada di peringkat bahagian atau di peringkat Ahli Majlis Tertinggi.

“Kami berpandangan bahawa sudah tiba masanya polemik politik dan juga sebarang tindakan untuk mewujudkan ketidakstabilan kepada kerajaan perlu dihentikan kerana ia memberi kesan kepada usaha membangunkan negeri dan rakyat.

“Kami akan bekerja bersama-sama YAB Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri untuk meneruskan momentum positif pembangunan negeri dan peningkatan hasil negeri melalui hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kami juga bertekad untuk terus memberi tumpuan dan perkhidmatan yang lebih baik untuk rakyat di kawasan kami khasnya dan negeri Sabah serta Malaysia amnya,” katanya.

Selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) pada September 2020 sehingga ke hari ini, Warisan kehilangan sembilan Adun bermula dengan Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama), Datuk Peter Anthony (Melalap), Datuk Juil Nuatim (Limbahau), Rina Jainal (Kukusan) dan terbaru Mohammad, Norazlina dan Chen Bin. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat