Oleh: Ab Jalil Backer

PERBALAHAN pemimpin politik Melayu kebelakangan ini sangat memalukan dan mengendalakan agenda untuk rakyat. Jika sebelum ini perbalahan hanya berkisar kepada perdebatan pendapat dan pertukaran kepimpinan negara, kini ia telah mengakibatkan dua Pilihan Raya Negeri (PRN) dan kemungkinan tiga dalam sedikit masa lagi.

Malah, dikhabarkan usaha sedang dibuat bagi mendesak Perdana Menteri membubarkan Dewan Rakyat dalam tempoh beberapa bulan ini. Walaupun pembubaran mungkin satu pilihan bagi membentuk sebuah kerajaan lebih stabil, namun ia bukan jaminan keputusan akan terhasil seperti diimpikan.

Hari ini kita dapat membaca perbalahan terbuka pemimpin UMNO dan Pas mengenai Muafakat Nasional (MN) serta penyatuan ummah. Masing-masing ada hujah dan pandangan, seolah-olah sudah tiada jalan kompromi.

Kedua-dua pihak lupa mereka pernah berada di atas pentas sama apabila Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Ketika itu UMNO dan Pas menyedari bahawa kepentingan masyarakat bumiputera serta Islam sedang berdepan ketidaktentuan kerana parti terbesar dalam kerajaan tidak lagi mewakili agenda tersebut.

Setelah kalah dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK), UMNO dan Pas mengambil inisiatif bekerjasama menerusi agenda penyatuan ummah, dan kemudian dikembangkan kepada MN. Kerjasama itu telah memberi keyakinan kepada rakyat terutama orang Islam untuk kembali menyokong UMNO dan BN.

Krisis keyakinan masyarakat Islam bukanlah dibuat-buat. Walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Pakatan Harapan (PH) adalah tokoh dihormati, namun 22 bulan pentadbirannya ternyata gagal memberi keyakinan, bukan sahaja kepada penyokong UMNO dan Pas tetapi juga Bersatu. Akhirnya, Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan menawarkan kerjasama dengan Pas, BN serta Gabungan Parti Sarawak.

Untuk berlaku adil kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila membawa keluar Bersatu daripada PH, beliau bukanlah Perdana Menteri. Semua pihak yang mahu membentuk ikatan politik itu masih menamakan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri.

Hanya perbezaan pendapat mengenai bentuk kerjasama dan pembentukan kerajaan menyebabkan konsensus baharu dicapai, dan nama Muhyiddin diangkat sebagai Perdana Menteri.

Oleh sebab UMNO, Pas dan Bersatu berada dalam kerajaan, maka soal ancaman kepada asas-asas negara Malaysia dari sudut masyarakat bumiputera serta kepentingan agama Islam tidak lagi menjadi satu persoalan besar.

Orang Melayu di bawah gembira melihat kerjasama tersebut, namun ia tidak lama kerana musuh bersama (common enemy) mereka telah berada di luar kerajaan. Sama seperti dalam hikayat-hikayat kerajaan Melayu lama, politik dalaman yang menjatuhkan sesebuah kerajaan. Tikam belakang, iri hati, kerakusan kuasa, sombong dan dendam adalah tragedi politik sejak dahulu kala.

Hari ini, pemimpin Melayu bercakaran kerana pelbagai sebab dan alasan, sama ada untuk kepentingan parti, kelompok atau diri. Nyanyian demi rakyat, orang Melayu dan Islam sudah sekadar siulan yang sayup-sayup kedengaran.

Berdasarkan trend sokongan kepada BN hari ini, mustahil pemimpin UMNO akan melepaskan peluang untuk kembali mengukuhkan kedudukan mereka. Ia adalah realiti politik yang turut dilakukan Bersatu dan Pas. Mereka mencongak kedudukan strategik dan mengambil kira untung rugi parti masing-masing.

Namun, kekusutan politik Melayu hari ini lebih kepada pertembungan ego beberapa pemimpin utamanya. Masing-masing bercakap soal prinsip dan kepentingan rakyat, sedangkan realitinya mereka sedang mencatur kedudukan.

Jika mahu mengubah keadaan itu, konsensus persaraan perlu dicapai. Mungkin sudah tiba masanya Muhyiddin, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan persaraan politik secara serentak bagi membolehkan politik Melayu mendapat nafas baharu.

Lagi pun, mereka sudah mencecah usia 70-an. Berilah laluan kepada pemimpin lain meneruskan perjuangan.

* Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)