Dr Suzana Idayu Wati wanita pertama dilantik Pengarah Besar FELDA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pengarah Besar FELDA, bagi menggantikan Datuk Amiruddin Abdul Satar, yang menamatkan perkhidmatannya pada 14 Oktober lalu.

FELDA dalam kenyataannya, berkata pelantikan Suzana yang menjadi wanita pertama memegang jawatan itu mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan wanita dalam menggerakkan pembangunan ekonomi negara.

Katanya, langkah itu seiring dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasakan penyertaan wanita dalam semua sektor sebagai pemaju utama ke arah Malaysia yang progresif dan mampan.

“Suzana mempunyai pengalaman luas dalam industri perladangan sejak menyertai FELDA sebagai Pegawai Tadbir pada 1998 sehingga memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Pelaburan pada 2008.

“Beliau kemudian menyertai FGV Holdings Berhad (FGV) sebagai Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulan dan beberapa jawatan penting di FGV sebelum menjadi Ketua Pegawai Pelaburan PERKESO.

“Kepimpinan beliau diperkuatkan dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam pelbagai sektor termasuk perbankan, kewangan, pelaburan, dan pengurusan aset institusi. Beliau menganggotai pengurusan kanan dan ahli lembaga pengarah di lebih 35 entiti di dalam dan luar negara,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, Suzana juga pernah menjadi Pengerusi Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) dan Ahli Lembaga Pengarah FELCRA.


“Sumbangan beliau ketika menjadi Pengerusi MSPO, menyerlahkan komitmennya terhadap industri dan pengurusan lestari. Komitmen ini penting bagi memastikan FELDA memacu agenda kelestarian yang menyokong keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

“Beliau adalah Ahli Lembaga Pengarah FELDA dan syarikat-syarikat di bawah Kumpulan FELDA, seperti FGV Holdings, MSM Holdings, dan Encorp Berhad. Beliau juga memegang peranan sebagai Pengerusi IIUM Holdings Berhad dan Ahli Lembaga Pengarah di Private Pension Administrator.

“Selain itu, beliau juga memperoleh Doktor Falsafah dan Sarjana dalam Kewangan dari Universiti Putra Malaysia, Ijazah dalam Pengajian Perniagaan dari Huddersfield University, UK, serta Advance Management Program dari Harvard Business School, USA.

“Dengan gabungan kelayakan akademik, pengalaman tempatan dan antarabangsa, serta kepimpinan yang berpandangan strategik, beliau dijangka memperkasakan lagi strategi dan daya saing FELDA,” katanya.

FELDA berkata, menerusi pelantikan itu, FELDA yakin bahawa Suzana akan membawa FELDA ke arah pencapaian baharu dan memberi impak positif yang berkekalan kepada 112,638 keluarga peneroka serta generasi masa depan mereka di seluruh negara.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat