Pengeluaran mineral negara meningkat – NRES

Oleh Zihan Zari

IPOH – Pengeluaran mineral negara bagi tahun 2024 menunjukkan peningkatan sebanyak 5 peratus (%) iaitu 6.07 juta tan métrik berbanding 5.76 juta tan métrik tahun sebelumnya.

Mineral tenaga, arang batu merekodkan pertumbuhan dengan pengeluaran meningkat daripada 4.07 juta tan métrik kepada 4.11 juta tan métrik, bernilai RM1.11 bilion, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Mas Rizal Mohd Helmi.

Beliau berkata, zirkon pula melonjak 292% daripada 704 tan kepada 2,759 tan, tungsten meningkat 233% daripada 96.8 tan métrik kepada 322.5 tan métrik, perak bertambah lebih dua kali ganda daripada 625 kilogram kepada 1,515 kilogram dan plumbum meningkat 40% kepada 5,036 tan métrik.

Penghasilan karbonat nadir bumi (REC) turut meningkat 26% daripada 6,438 tan metrik kepada 8,524 tan métrik.

Perkembangan ini menonjolkan peningkatan permintaan terhadap mineral yang penting bagi teknologi maju, elektronik, dan aplikasi tenaga hijau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Mineral Ke-11 (SIMPOMIN 2025) di Hotel Casuarina@Meru, dekat sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Datuk Zamri Ramli; dan Pengarah Kanan Pusat Penyelidikan Mineral (PPM), Dr Nazwin Ahmad.

Mas Rizal berkata, nilai pengeluaran mineral logam susut 25%, daripada RM3.15 bilion kepada RM2.35 bilion, manakala mineral bukan logam berkurang 15% kepada RM3.75 bilion.

“Ini menunjukkan pengeluaran fizikal bertambah, tetapi pada nilai pasaran yang lebih rendah, dipengaruhi oleh kejatuhan harga global serta peningkatan pengeluaran bahan yang bernilai lebih rendah.

“Pada masa yang sama, beberapa mineral kritikal dan bernilai tinggi mencatatkan peningkatan ketara, menggambarkan peranan Malaysia yang semakin penting dalam rantaian bekalan strategik,”katanya.

“Pembangunan sektor mineral perlu merangkumi keseluruhan rantaian nilai dari aktiviti huluan seperti eksplorasi dan perlombongan, ke pemprosesan pertengahan, seterusnya penghasilan produk akhir bernilai tinggi.

“Contohnya, projek perintis perlombongan REE secara ‘in-situ leaching’ di Perak telah membuktikan keberkesanan teknologi mesra alam yang meminimumkan kesan kepada biodiversiti hutan.

“Ia juga menunjukkan kejayaan kerjasama antara syarikat tempatan dan asing dalam membawa masuk pelaburan serta pemindahan teknologi,” katanya lagi.

Tegasnya, Dasar Mineral Negara Ke-3 (DMN3) yang sedang dirangka akan memberi tumpuan kepada pemodenan sektor, pematuhan aspek alam sekitar, serta penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Ini akan melengkapkan sasaran Pelan Transformasi Industri Mineral (TIM) 2021-2030 yang menyasarkan sumbangan industri mineral sebanyak RM29 bilion kepada KDNK menjelang tahun 2030.

“Komitmen ini juga direalisasikan menerusi kejayaan JMG dalam inisiatif penambahbaikan penyampaian perkhidmatan melalui Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) mempercepatkan proses kelulusan lesen mineral (Tanpa Premis Penyimpanan) dari 61 hari ke 7 hari,”ujarnya.

Tambahnya, reformasi yang diperkenalkan akan mengurangkan tempoh pemprosesan kepada tujuh hari, selaras dengan usaha JMG untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran serta mempercepatkan proses kelulusan.

Pelaksanaan reformasi ini mampu mengurangkan kos pematuhan syarikat pedagang mineral hingga 20%, meningkatkan perdagangan dalam dan luar negara, serta menjana hasil kerajaan dianggarkan RM1.3 juta setahun.

“RKB turut mempercepat urusan pentadbiran, memperkukuh daya saing industri dan menyokong eksport mineral secara mampan.

“Dengan sokongan berterusan kerajaan serta kerjasama erat antara penyelidik, industri dan masyarakat, SIMPOMIN ini diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan industri mineral negara yang lebih mampan, berdaya saing dan memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat serta pembangunan negara, ”tambahnya lagi.

SIMPOMIN 2025 dianjurkan oleh JMG melalui PPM, merupakan sebuah platform berprestij yang menghimpunkan para penyelidik, ahli akademik, teknokrat, pemain industri, agensi kerajaan, pihak swasta serta pelajar.

SIMPOMIN 2025 turut mempamerkan pencapaian penyelidikan dan bertukar pandangan, pengetahuan serta pengalaman berkaitan teknologi progresif, penyelesaian inovatif dan peluang pengkomersialan dalam industri mineral.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat