Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Seramai 74 orang pemandu teksi yang berdaftar dengan Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Berhad telah menerima sumbangan wang tunai dan kotak makanan berjumlah RM18,500 menerusi Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh YWM memaklumkan, program Santuni Komuniti Madani Bersama Pemandu Teksi / Kereta Sewa telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Hj. Mokhtar, di Putrajaya Sentral dekat sini pada Jumaat.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Dr. Ridzwan Bakar; Presiden Perbadanan Putrajaya, Dato’ TPR Fadlun Mak Ujud; Pengarah Operasi Terminal Putrajaya Sentral, Hj. Ab Rahim Md Junoh, dan Pengerusi Koperasi Pengangkutan Cyberjaya & Putrajaya Berhad, Mohd Salleh Mat Zin.
Menurut YWM, sumbangan itu sebagai usaha membantu meringankan beban mereka dan memastikan tiada pihak yang tercicir dalam menikmati kehidupan yang sempurna.
“Selain itu, sebagai tanda menghargai pemandu teksi / kereta sewa yang telah menyumbang kepada kemudahan pengangkutan awam terutamanya di Putrajaya.
“Usaha ini bertepatan dengan salah satu daripada enam nilai teras Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri.
“Antara lain teras itu menyebut, mengasihi orang lain, keluarga, sahabat handai, jiran tetangga dan masyarakat secara keseluruhannya adalah teras kepada sebuah visi Malaysia yang ihsan, ”katanya.
“Bersandarkan kepada Fokus 3, Teras Strategik 2, Pelan Transformasi Al-Falah iaitu Kemampanan Ekonomi dan Kebajikan Sosial Islam, YWM sebagai agensi di bawah JPM (Hal Ehwal Agama) telah bergerak aktif di lapangan muamalah.
“Ianya bagi menyantuni golongan yang memerlukan, sama ada menggunakan dana Wakaf Tunai Malaysia, dana manfaat wakaf atau dana CSR Prihatin YWM, ”katanya lagi.
Pada masa yang sama, Mohd Na’im yang merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM, turut meluangkan masa beramah mesra dengan pengunjung yang berada di sekitar Putrajaya Sentral.-SUARA.TV