Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) bakal siap sepenuhnya pada Oktober 2026, kelak sebagai Pusat Kefungsian Forensik pertama di Asia Tenggara.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan, IPFN merupakan fasiliti yang menempatkan semua kefungsian forensik di dalam sebuah bangunan yang sama.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan, telah meninjau kemajuan kerja pembinaan IPFN di bawah seliaan Pasukan Projek Khas 1, Jabatan Kerja Raya (JKR) dekat sini pada Khamis.
Beliau berkata, IPFN kelak akan menawarkan pelbagai perkhidmatan Perubatan Forensik seperti Patologi Forensik, Klinikal Forensik, Odontologi Forensik, Radiologi Forensik, Makmal Forensik Bersepadu, Bank Tisu dan Tulang.
Menurutnya, keluasan tapak projek itu berukuran 3.07 ekar, terletak bersebelahan dengan Jalan Tun Razak turut menempatkan pejabat bagi Pusat Penyelidikan Transplan Nasional (NTRC).
Sehingga September lalu kemajuan fizikal di tapak adalah sebanyak 21.62% dan pembinaannya menggunakan kaedah secara reka dan bina dengan kos bernilai RM188 juta mula dibina pada 12 Oktober 2022 oleh syarikat Gadang Engineering Sdn. Bhd.
Menurutnya lagi, revolusi industri 4.0 (IR4.0) diimplementasikan dalam pelaksanaan projek ini menggunakan teknologi Sistem Bangunan Industri (IBS) bagi pembinaan blok utama IPFN yang mencapai skor sebanyak 78.1%.
“Disamping itu, perancangan serta pengurusan kerja-kerja pembinaan di tapak dilaksanakan menggunakan aplikasi Building Information Modelling (BIM) bagi memudahkan penyelarasan termasuk kerja-kerja penyelenggaraan di masa hadapan.
“Projek ini telah memperoleh pencapaian pengiktirafan 5 bintang tahun ini bagi Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan Dalam Pembinaan (SHASSIC) dari Lembaga Pembangunan Indusri Pembinaan Malaysia (CIDB),”katanya.
“Selain itu, reka bentuk solar panel di bumbung bangunan merupakan keistimewaan skop pembinaan bangunan ini, julung-julung kalinya dibina bagi projek di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Panel solar ini melibatkan 30% keluasan bumbung projek dan dijangka menjana pengunaan elektrik sebanyak 316 kWp dan mampu memberikan penjimatan elektrik sehingga RM99,250 setahun kepada pihak KKM, ”katanya lagi.
“Ianya selaras dengan dukungan aspirasi kerajaan dalam penggunaan tenaga boleh guna semula dan ingin menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya bebas karbon 2050 kelak.
“Projek ini mempunyai empat skop kerja iaitu membina sebuah blok IPFN setinggi empat tingkat, blok bangunan Chemical Integrated Store (CIS) setinggi dua tingkat, blok bangunan M&E serta Chemical Waste Store setinggi tiga tingkat dan membina bangunan sokongan serta kerja-kerja infra,”ujarnya.
“Berkeluasan lantai mencakup 18,413 meter persegi akan dilengkapi dengan dewan autopsi bagi Patologi Forensik, bilik autopsi bagi Biosafety Tahap 3 (BSL3), muzium perubatan forensik, kemudahan penyelidikan dan latihan untuk pegawai perubatan serta kakitangan kesihatan.
“Pelaksanaan projek ini jelas membuktikan komitmen kerajaan menyediakan prasarana dan perkhidmatan kepakaran untuk peningkatan taraf perkhidmatan, seiring menyediakan fasiliti kesihatan terbaik untuk rakyat,”ujarnya lagi.
“KKR berharap pasukan pengurus projek dan pembinaan dapat mengekalkan momentum penyiapan projek ini dengan menepati mutu yang ditetapkan dari segi kualiti, kos dan masa.
“KKR sangat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh KKM kepada JKR selaku agensi pelaksana untuk menyiapkan infrastruktur kesihatan negara ini, ”tambahnya. – SUARA.TV