Pencemaran bau Sungai Semenyih disyaki berpunca dari Kawasan Perindustrian Nilai

SEPANG: Pencemaran bau Sungai Semenyih yang menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan sejak pukul 4.30 petang tadi, disyaki berpunca dari Kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata siasatan awal mendapati pencemaran bau itu mengalir ke Sungai Semenyih dari Sungai Batang Benar yang berhampiran dengan kawasan perindustrian itu.

“Buat masa ini kita terpaksa menunggu pencemaran bau itu hilang, barulah loji dapat beroperasi semula. Setakat ini kita tidak pasti berapa lama sebab kita masih menyiasat punca pencemaran bau itu dan seluruh pasukan penyiasat tertumpu di Sungai Batang Benar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari selepas mendengar taklimat daripada Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di Stesen Pam Air Mentah Loji Sungai Semenyih, Jenderam Hilir, di sini malam ini.

Tuan Ibrahim berkata sampel air yang diambil dari Sungai Semenyih pada pukul 4.30 petang tadi adalah 4 TON (ukuran kadar bau), manakala pada pukul 9.00 malam pula ia meningkat kepada 11 TON.

“Jadi sukar untuk kita jangka adakah ia makin meningkat, selagi puncanya belum ditutup. Warnanya pun semakin keruh,” katanya.

Tuan Ibrahim menegaskan pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran itu akan diarahkan menutup operasi, selain dikenakan tindakan undang-undang.

Sementatra itu Amirudin berkata pihak Kerajaan Negeri Negeri Sembilan serta Jabatan Alam Sekitar negeri itu telah dihubungi bagi memaklumkan mengenai perkara berkenaan.

“Sungai Batang Benar adalah anak sungai kepada Sungai Pajam dan dari Sungai Pajam mengalir ke Sungai Semenyih. Jaraknya sekarang kira-kira 30km dan ia (pencemaran) bukan sahaja rentas daerah tetapi sudah rentas negeri pun,” katanya.

Bagi penyelesaian jangka panjang, katanya kerajaan negeri telah berbincang dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk menggerakkan pelan bagi mengambil air dari Tasik Putrajaya sebagai alternatif jika berlaku gangguan bekalan air di Selangor.

“Kita telah buat kiraan, jika berlaku pencemaran, kita boleh bertahan kira-kira tujuh hari (dengan air dari Tasik Putrajaya). Dengan komitmen diberikan oleh Menteri (Tuan Ibrahim) kita berharap masalah dapat diatasi dan kosnya kita sedia bincangkan,” kata Amirudin sambil menambah pencemaran itu turut memberi kesan kepada kawasan Putrajaya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata kementerian menjangkakan pelan itu dapat dilaksanakan dalam tempoh setahun hingga dua tahun lagi.

Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas operasi di LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan pada pukul 4.30 petang tadi, akibat insiden pencemaran di LRA itu.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata dua LRA terlibat ialah LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi yang telah dihenti tugas sepenuhnya.

– BERNAMA

Topik Hangat

Zahid didakwa guna kuasa veto ketika mesyuarat MT UMNO

CYBERJAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggunakan kuasa vetonya selaku Presiden UMNO ketika majoriti anggota Majlis Tertinggi (MT) parti itu Jumaat lepas, lapor Astro...

Yayasan Bank Rakyat Taja Program Tuisyen Kepada 13,212 Pelajar Pada Tahun 2020

YAYASAN Bank Rakyat (YBR) telah memperuntukkan hampir RM550,00 untuk 253 Program Tuisyen Rakyat sepanjang tahun 2020 di seluruh negara walaupun ketika pandemik Covid-19, menurut...

Ismail Sabri bakal dilantik TPM, Zahid dipinggir punca UMNO berantakan?

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disebut-sebut bakal dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri. Desas-desus ini khabarnya antara punca UMNO...

Berita Berkaitan

Bob Mah Sing Ditahan

PETALING JAYA: Penjenayah yang terbabit dalam kejadian dua rempuhan dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sierramas, Sungai Buloh, di sini, semalam sudah ditahan polis. Ketua...

Sultan Selangor Berkenan Terima Suntikan Vaksin

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima giliran suntikan vaksin Covid-19 selepas semua petugas barisan hadapan di Selangor selesai menerimanya. Istana...

Kerajaan Peruntuk RM4.9 Bilion Tangani Masalah Banjir Di Sabah – Tuan Ibrahim

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM4.9 bilion dalam usaha menyelesaikan masalah berkaitan banjir, perparitan, saliran dan pembentungan di negeri Sabah. Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air,...