Oleh Zihan Zari
CYBERJAYA – Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Sektor Perkhidmatan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), See Chee Kong telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia (JSM) yang ke-6, berkuatkuasa 3 September 2025.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh JSM berkata, berbekalkan pengalaman luas dalam perkhidmatan awam, terutamanya dalam bidang perdagangan dan industri, See diyakini akan dapat memacu JSM ke tahap yang lebih tinggi serta meneruskan agenda standadisasi dan akreditasi Malaysia.

See pernah berkhidmat sebagai Menteri Kedutaan (Hal Ehwal Ekonomi) di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, Republik Rakyat China dan telah memainkan peranan penting dalam mempromosikan kepentingan ekonomi Malaysia di samping mengeratkan lagi kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan Malaysia-China.
“Pelantikan ini merupakan satu langkah strategik bagi memperkukuh ekosistem standardisasi dan akreditasi Malaysia dalam mendepani cabaran ekonomi global.
“Pengalaman luas beliau di MITI akan memberikan kelebihan dalam memacu agenda standardisasi dan akreditasi Malaysia selaras dengan misi dan matlamat yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), ”kata kenyataan itu pada Rabu.
“Kepimpinan baharu ini dijangka akan memacu agenda JSM agar terus cemerlang dalam misinya untuk menyediakan infrastruktur standard dan akreditasi yang diiktiraf di peringkat global dalam menyokong inovasi, memastikan kualiti dan keselamatan produk.
Selain itu, meningkatkan daya saing industri tempatan di persada antarabangsa,”kata kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Hj. Abdul Aziz telah menyampaikan watikah penempatan kepada See Chee Kong, di Pejabat KPPA, Putrajaya pada Rabu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan),
Datuk Dr. Mohd Bakhari Ismail, dan Pengarah Bahagian Perkhidmatan, JPA, Dato’ Badurunhisam Mohd Nor.
Untuk rekod, JSM ialah agensi di bawah MITI ditubuhkan pada 28 Ogos
1996 di bawah Akta Standard Malaysia 1996 (Akta 549) berperanan sebagai Badan Standard dan Akreditasi Kebangsaan yang membangunkan serta mempromosikan Standard Malaysia (MS).
JSM turut menyediakan perkhidmatan akreditasi kepada badan penilaian pematuhan seperti makmal, badan pensijilan dan pemeriksaan. – SUARA.TV



