Muktamad: BN Sabah tolak GRS, hanya kekal kerjasama dengan PH

KUALA LUMPUR – BN Sabah telah memuktamadkan keputusan tidak akan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) akan datang.

Keputusan muktamad itu diumumkan selepas pertemuan antara Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan kepimpinan UMNO Sabah di ibu negara malam tadi.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut Zahid, BN Sabah mengekalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan menolak sebarang kemungkinan pakatan dengan GRS.

“BN Sabah telah membuat keputusan muktamad untuk tidak ada sebarang kerjasama dengan GRS. Keutamaan kami adalah meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan,” katanya.

Isu kerjasama politik BN Sabah dengan GRS bukanlah perkara baharu. Beberapa siri perbincangan sebelum ini telah diadakan, termasuk yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

Namun, usaha itu dilihat gagal menyelesaikan kemelut yang berpanjangan antara UMNO Sabah dengan kepimpinan GRS.

Anwar sebelum ini cuba menjadi orang tengah bagi mencari titik persetujuan, tetapi pertindihan kepentingan politik serta kecurigaan lama antara dua blok tersebut terlalu mendalam untuk didamaikan.

Sebelum keputusan diumumkan, Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam Podcast Jam Kesebelas beberapa hari lalu sudah pun memberi bayangan bahawa parti itu tidak lagi melihat kerjasama dengan GRS sebagai pilihan realistik.

“UMNO Sabah tidak boleh terus berada dalam keadaan bergantung pada pihak lain yang tidak menghormati kita. Kalau mahu ke hadapan, kita mesti ada perancangan sendiri, bukan sekadar menumpang,” katanya ketika ditanya mengenai hala tuju parti di Sabah.

Kenyataan itu kini terbukti selari dengan keputusan yang diumumkan oleh Ahmad Zahid, sekaligus mengesahkan pendirian tegas UMNO Sabah terhadap GRS.

Hubungan dingin antara UMNO Sabah dan GRS mula tercetus selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020, apabila UMNO merasakan kedudukannya semakin terpinggir dalam pentadbiran negeri.

Kemelut berlarutan selepas beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO bertindak menyokong GRS, sekali gus menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan akar umbi parti.

Keretakan ini semakin ketara apabila BN tidak diberi peranan penting dalam kerajaan negeri yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Sejak itu, spekulasi mengenai kemungkinan penyatuan semula BN dan GRS terus diperdebatkan, termasuk dalam kalangan kepimpinan tertinggi kerajaan Perpaduan.

Keputusan BN Sabah menolak kerjasama dengan GRS bakal memberi kesan besar kepada landskap politik negeri.

Dengan pilihan raya semakin hampir, persaingan dijangka lebih sengit antara blok kerajaan Perpaduan (PH-BN), GRS, Warisan, serta parti-parti tempatan lain.

Pengumuman Zahid ini juga memberi isyarat jelas bahawa BN mahu mengukuhkan kedudukan politiknya sendiri di Sabah tanpa bergantung pada GRS, meskipun ia mungkin membuka ruang kepada pertandingan pelbagai penjuru yang berpotensi merugikan gabungan tertentu.

Perkembangan ini menandakan kegagalan usaha kompromi yang cuba dibawa Perdana Menteri untuk menyatukan BN dan GRS.

Sebaliknya, Sabah bakal menjadi medan ujian terbesar kepada ketahanan Kerajaan Perpaduan menjelang PRN yang semakin hampir. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat