KUALA LUMPUR, – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ASEAN kini berada di persimpangan sejarah yang menentukan arah masa depan rantau ini, ketika dunia berdepan ketidaktentuan global, persaingan kuasa besar dan keruntuhan keyakinan terhadap multilateralisme.
Dalam tulisan terbarunya bertajuk “ASEAN at a Crossroads”, beliau berkata sejak ditubuhkan pada 1967, ASEAN berjaya membina reputasi sebagai rantau yang sinonim dengan keamanan, kestabilan dan kemajuan, berlandaskan budaya konsensus, komunikasi terbuka dan solidariti.
“Tradisi kerjasama inilah yang membolehkan ASEAN menguruskan ketegangan, mengelakkan konflik, dan memupuk kemakmuran di salah satu rantau paling pelbagai di dunia,” katanya.
ASEAN Jadi Pemelihara Keamanan Serantau
Anwar mencontohkan bagaimana Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini telah menjadi tuan rumah kepada pertemuan pemimpin Kemboja dan Thailand bagi menangani insiden pertempuran di sempadan kedua-dua negara.
“Melalui proses mendengar dengan teliti, mediasi berprinsip dan penglibatan konstruktif Amerika Syarikat serta China, ASEAN berjaya membantu pihak terlibat mencapai gencatan senjata segera,” katanya.
Jelasnya, episod itu membuktikan nilai dialog, rasa hormat, serta keyakinan rakyat ASEAN terhadap peranan blok tersebut sebagai penjaga keamanan dan kestabilan.
Timor-Leste Ahli Ke-11 ASEAN
Beliau mengingatkan, walaupun dunia menyaksikan pertambahan blok-blok geopolitik dan perang tarif, ASEAN kekal sebagai pelindung neutraliti.
Malah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur Mei lalu turut mencatat sejarah apabila semua negara bersetuju menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11 menjelang akhir 2025.
“Menjaga autonomi ASEAN keupayaan bercakap dengan satu suara tanpa dipaksa mana-mana pihak luar adalah keperluan eksistensial,” tegas Anwar.
Tumpuan Ekonomi: RCEP, Perdagangan Digital dan ASEAN Power Grid
Menurut Anwar, ASEAN dengan populasi 660 juta adalah antara pasaran paling dinamik di dunia, namun jurang pembangunan antara negara anggota perlu dirapatkan.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung Oktober ini di Kuala Lumpur akan menumpukan usaha merombak tarif, menghapuskan halangan bukan tarif, serta memperbaharui komitmen terhadap perdagangan inklusif dan mapan.
Anwar menegaskan perjanjian RCEP perjanjian perdagangan terbesar dunia adalah tulang belakang seni bina ekonomi rantau ini.
“Pelaksanaannya yang berkesan amat penting untuk menjamin peluang sebenar kepada rakyat dan kemakmuran berpanjangan untuk ekonomi kita,” jelasnya.
Beliau menambah, ASEAN juga perlu memperluas rangkaian global melalui kerjasama dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China, India dan Korea Selatan. Malah, penyempurnaan Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN menjadi keutamaan mendesak, terutama dalam persaingan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sektor transformasi digital.
Dalam aspek kelestarian, Anwar menekankan kepentingan mempercepatkan pembangunan ASEAN Power Grid bagi menjana tenaga bersih, mewujudkan pekerjaan hijau dan menjamin keselamatan tenaga jangka panjang.
“Keadaan dunia tidak membenarkan kita berdiam diri. Tindakan berani hari ini adalah harga untuk masa depan yang adil dan lestari,” katanya.
Beliau turut mengingatkan tentang kepentingan mengukuhkan semula rangka kerja geostrategik lama seperti Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) serta menggiatkan mekanisme ASEAN seperti Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan Forum Serantau ASEAN (ARF).
“Platform ini kekal penting sebagai medan dialog, membina kepercayaan dan diplomasi pencegahan,” katanya.
Anwar turut menyorot langkah berani ASEAN mengukuhkan hubungan tiga hala dengan GCC dan China, yang menurutnya mampu menyelaras bakat serta keperluan tenaga Asia Tenggara dengan modal Teluk dan jaringan global China.
Penubuhan Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (ASEAN Geoeconomics Task Force) pula dijangka memperkukuh keupayaan rantau ini menghadapi ketidaktentuan ekonomi global secara kolektif.
Kesimpulan: ASEAN Bentuk Masa Depannya
Anwar menegaskan ASEAN tidak boleh hanya pasif atau menjadi mangsa percaturan kuasa besar, sebaliknya mesti berani menentukan nasib sendiri.
“ASEAN tidak mampu mengawal peristiwa global, tetapi kita juga tidak harus menyerah kepada takdir. Kita boleh, dan kita mesti, membentuk masa depan kita sendiri dengan keberanian, pandangan jauh, dan solidariti,” katanya.
Beliau menutup tulisannya yang diterbitkan dalam portal Project Syndicate dengan menyeru ASEAN agar terus berpegang pada nilai asas penubuhannya sambil menyesuaikan diri dengan realiti baharu. https://www.project-syndicate.org/commentary/in-a-divided-world-asean-countries-refuse-to-pick-sides-by-anwar-ibrahim-2025-09
“Dengan cara itu, ASEAN akan terus menjadi mercu tanda keamanan, kemakmuran dan kemajuan untuk generasi akan datang,” tulis Anwar. -Suara.TV



