Putera Bobo lancar lagu sulung, “Korban Rindu”.

- Advertisement -

Di sebalik nama Putera Bobo yang kini menjadi fenomena baharu di platform digital, tersimpan satu kisah tentang impian yang dibentuk oleh kasih sayang keluarga, sokongan komuniti kecil, dan insan-insan berhati besar yang percaya pada potensi seorang remaja berusia 14 tahun dari Jerteh, Terengganu.

Dilahirkan sebagai Putera Shah Nasratullah bin Mohd Nasran, bakat nyanyiannya bukan lahir secara tiba-tiba. Sejak kecil, Putera sudah biasa dengan dunia pentas – bukan pentas gah, tetapi pentas kampung, persembahan sekolah, dan acara nasyid. Disitulah, dalam suasana sederhana, dia mula mengasah suara dan keyakinan.

Apa yang membezakan Putera dengan penyanyi cilik lain bukan sekadar suaranya, tetapi jiwa yang disemat dalam setiap bait lagu yang didendangkan. Inilah yang menarik perhatian netizen apabila video TikToknya menyanyikan lagu “Korban Perceraian” dalam kostum maskot beruang meraih lebih 5 juta tontonan – bukan kerana kostum uniknya, tetapi kerana emosi tulus yang disampaikan.

“Ramai ingat lagu itu tentang kisah sebenar keluarga kami. Sebenarnya tidak. Tapi Putera memang suka nyanyi lagu sedih sebab dia rasa dekat dengan jiwa orang,” ujar ibunya, Elyani, sambil tersenyum mengenang minat anaknya yang sering memilih lagu-lagu penuh emosi seperti nyanyian Lesti Kejora.

Namun kisah Putera bukan hanya tentang bakat – tetapi juga tentang jaringan manusia yang percaya dan mahu membantu tanpa syarat. Salah seorangnya, Kak Long Rosel atau Azian Zaid Khan, yang terpukau ketika menonton persembahan Putera secara langsung di Uptown Jerteh.

“Lepas tengok dia nyanyi, saya tahu budak ni ada sesuatu yang istimewa. Suara dia tak sekadar sedap – tapi dia bercerita dengan nyanyian,” kata Kak Long yang kemudian memperkenalkan Putera kepada pihak industri, termasuk membawa bakatnya ke Nova Music melalui kerjasama dengan Molek FM.

Bersama komposer ternama, Eddie Hamid, dan penulis lirik Jaju, Hakim Hakimi dan Te Ha, lahirlah lagu sulung “Korban Rindu” yang kini mencatat sejarah tersendiri dengan menduduki Top 20 Trending YouTube dalam tempoh 24 jam selepas dilancarkan.

“Putera bukan saja boleh menyanyi – dia boleh rasa lagu tu. Itu kekuatan sebenar dia,” kata Eddie yang melihat potensi besar dalam penyanyi muda itu.

Apa yang lebih menyentuh hati ialah sokongan utuh dari keluarganya. Ibu bapa Putera bukan asing dalam dunia seni kampung – mereka sendiri aktif dalam kumpulan dikir barat Arwana Seri Muda. Dari situlah Putera mewarisi minat dan ketekunan, membesar dalam suasana yang menghargai seni tradisi dan ekspresi muzik.

Kini, dengan lagu rasmi pertama sudah dilancarkan, Putera Bobo melangkah ke dunia seni yang lebih luas. Tapi akar ceritanya tetap sama – anak kampung dengan impian besar, dibesarkan oleh keluarga penyayang, dan dibantu oleh insan-insan berhati murni yang melihat cahaya dalam dirinya.

Putera bukan sekadar penyanyi remaja baharu – dia lambang bagaimana impian yang kecil boleh menjadi besar dengan sedikit kepercayaan dan sokongan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat