BATU PAHAT – Barisan Nasional (BN) merancang untuk merebut kembali beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini dipegang oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS pada pilihan raya umum akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kajian menyeluruh sedang dirancang bagi mengenal pasti kawasan yang berpotensi untuk dimenangi semula, khususnya oleh calon UMNO.
“Kita akan berusaha bersungguh-sungguh … kerusi itu akan kembali kepada calon UMNO pada PRU akan datang,” katanya semasa menutup Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading di Johor.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Johor merangkap Ketua UMNO negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Mohd Lassim Burhan.
Dalam ucapannya, Zahid turut membidas cubaan pembangkang yang memainkan sentimen ‘UMDAP’, menyifatkan naratif tersebut sebagai taktik untuk menggugat kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH).
“Yang berkawan ialah BN dan PH. Dalam BN, ada MCA dan MIC, dalam PH pula ada DAP, PKR dan Amanah. Jangan terpedaya dengan propaganda pembangkang yang mahu memecahkan kita supaya mereka boleh ‘tebuk atap’ semula,” tegas Zahid.
Beliau menegaskan bahawa realiti politik hari ini memerlukan kestabilan melalui kerjasama yang terbina, dan ia perlu difahami oleh semua peringkat ahli.
Zahid juga menekankan pentingnya disiplin dan kesungguhan dalam kalangan ahli parti jika ingin mengembalikan dominasi UMNO dalam kerajaan.
“Kalau kita mahu menang, tunjukkan kesungguhan. Kita dalam kerajaan, maka kita perlu kerja bersungguh-sungguh,” katanya.
“Jangan mahu menang tapi kita tidur, bergaduh sesama sendiri, tikam belakang atau berdiam diri apabila diasak lawan,” tambah beliau.