Harga Makanan UPSI Mampu Bayar, Wajar Jadi Contoh IPT Lain

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berpuas hati dengan keupayaan pengurusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyediakan harga makanan mampu bayar kepada pelajarnya.

Hasil lawatan mengejut memuji pendekatan pengurusan UPSI dalam usaha memastikan pihak operator makanan memahami aspirasi kerajaan menguruskan soal harga makanan dalam kampus.

“Secara umum daripada tinjauan saya, semua harga makanan di dalam kampus adalah terkawal sepenuhnya.

“Malah harga makanan di kafetaria dalam universiti jauh lebih murah berbanding di luar,” katanya.

Justeru, Masrizal merumuskan ‘collaborative effort’ yang dimodelkan UPSI ini iaitu antara tiga pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), universiti dan operator makanan adalah satu yang wajar diberikan pujian.

“Hasilnya, mereka telah mencapai kata sepakat mengenai harga makanan yang mampu dibayar oleh pelajar. Dalam usaha kita memerangi kemelut kos sara hidup dan inflasi yang semakin meningkat.

“Ini adalah satu bukti bahawa usaha semua pihak dan rakyat adalah penting. Kerajaan perlukan sokongan dan dukungan daripada semua,” ujarnya.

Masrizal berkata, di sinilah letaknya ukuran semangat kenegaraan kita iaitu solidariti Keluarga Malaysia.

“Saya yakin jika semua mampu menggembleng usaha kita pasti akan mampu mengharungi fasa ini dengan lebih tuntas.

“Saya menyeru dan menyarankan kepada semua universiti yang ada dalam negara untuk turut sama mengambil langkah yang dibuat oleh UPSI ini,” katanya.

Dalam pada itu, Masrizal turut menyarankan agar semua universiti mewujudkan jawatankuasa khas pemantuan kos sara hidup pelajar di mana MPP wajar diaktifkan peranannya.