KUALA LUMPUR – Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan Sekretariat Orang Melayu dan menjemput ahli Umno menyertainya tidak lebih daripada kitaran ulangan percubaan politik yang gagal.
Ketua Penerangan Umno Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata bekas perdana menteri itu berulang kali gagal menyatukan orang Melayu melalui platform politiknya sebelum ini iaitu Gerakan Tanah Air (GTA) dan Pejuang, malah semua calonnya hilang deposit pada PRU15.
GTA ditubuhkan pada 2022 sebelum PRU15, namun terkubur setahun selepas itu apabila Mahathir selaku pengerusi mengakui gerakan itu sudah tidak berfungsi. Sebelum itu, beliau mengasaskan Pejuang bersama bekas pemimpin Bersatu namun turut keluar parti pada Feb 2023.
“Kekuatan politik Melayu tidak akan dapat dibina atas retorik nostalgia dan percubaan berulang untuk menubuhkan khemah baharu yang longgar tanpa asas perjuangan jelas.
“Apa yang perlu hari ini bukan lagi serpihan baharu, tetapi tekad untuk memperkukuh institusi politik sedia ada yang terbukti jasanya kepada bangsa dan negara,” kata Shaiful memetik FMT pada Khamis.
Semalam, Mahathir menjemput ahli Umno menyertai gabungan Sekretariat Orang Melayu dalam usaha ‘mengembalikan kuasa Melayu’ dalam kerajaan.
Mahathir berkata gabungan turut merangkumi Pas dan Bersatu, bukanlah parti politik rasmi buat masa ini, sebaliknya menjadi ‘payung besar’ untuk menyelamatkan masa depan orang Melayu dari segi politik dan ekonomi.
Mengulas cadangan bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim supaya kumpulan baharu ditubuhkan untuk menyatukan orang Melayu, Shaiful berkata ia umpama memberi gambaran orang Melayu tiada pilihan melainkan terus menjadi bahan eksperimen politik yang gagal.
“Cadangan Zaid tidak lebih daripada satu lagi ‘kumpulan retorik’ yang akan lahir tanpa akar, tanpa kepercayaan akar umbi dan tanpa kesetiaan politik yang konsisten.
“Orang Melayu bukan mudah lupa tetapi mereka masih ingat sejarah politik beliau yang sering beralih arah dan sering menolak asas perjuangan Melayu itu sendiri,” katanya.
Terdahulu, sebagai respons kepada gerakan ditubuhkan Mahathir – Sekretariat Orang Melayu, Zaid berkata usaha bekas perdana menteri itu sebelum ini gagal mencapai keputusan yang diinginkan.
Dalam catatan di X, beliau berkata parti seperti Umno dan Pas terus mengutamakan agenda individu mereka dengan mengorbankan perpaduan yang lebih luas.
Beliau mencadangkan pembentukan ‘kohort kepimpinan’ yang terdiri daripada 20 rakyat Malaysia yang berkebolehan dan kumpulan ini harus dipersembahkan sebagai nukleus kepimpinan negara masa depan.