SINGAPURA – Pihak Berkuasa Tanah Singapura (Singapore Land Authority, SLA) hari ini mengumumkan pengambilan dua bidang tanah milik kerajaan Malaysia bagi tujuan pembangunan semula dan peluasan Kompleks Kastam dan Imigresen Woodlands (Woodlands Checkpoint).
Menurut laporan portal CNA, dua lot tanah tersebut, yang berkeluasan keseluruhan 0.79 hektar sedikit lebih besar daripada saiz padang bola sepak kini tidak dibangunkan dan dilitupi tumbuh-tumbuhan.
Dalam kenyataan bersama oleh SLA dan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), pihak berkuasa Singapura memaklumkan, mereka akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia sepanjang proses pengambilan tanah tersebut.
“Kami akan terus mengukuhkan hubungan kerjasama dengan kerajaan Malaysia dalam usaha mempereratkan hubungan rentas sempadan dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara,” kata kenyataan itu.
Kedua-dua bidang tanah ini terletak di kawasan tengah pelan pembangunan semula yang dirancang dan merupakan sebahagian daripada fasa awal peluasan Woodlands Checkpoint yang dijadualkan berlaku dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
Pihak ICA menjelaskan, pembangunan ini adalah langkah jangka panjang untuk menangani masalah kesesakan kronik di pintu masuk darat tersebut.
Peningkatan jumlah pengguna dan pelan pembinaan
Pada 2024, jumlah harian pengguna di Woodlands Checkpoint meningkat sebanyak 22 peratus kepada 327,000 berbanding 269,000 pada tahun sebelumnya.
Malah, pada 20 Disember 2024, semasa cuti sekolah hujung tahun, jumlah pengguna harian mencecah rekod tertinggi iaitu 376,000 orang.
ICA menjangkakan jumlah ini akan terus meningkat kepada purata 400,000 pengguna setiap hari menjelang tahun 2050.
Menurut ICA, Singapura telah menulis kepada kerajaan Malaysia pada Mei 2022 dan sekali lagi pada November 2023 untuk mencadangkan pembelian tanah tersebut, lapor CNA.
Pelaksanaan projek
Bagi Fasa 1, ICA akan memulakan kerja-kerja pembinaan sambungan Woodlands Checkpoint di kawasan bekas Pusat Bandar Woodlands Lama, yang dijangka bermula pada suku ketiga tahun 2025.
Pembangunan ini akan merangkumi kemudahan pemeriksaan automatik baharu untuk kenderaan kargo dan kenderaan masuk.
Lebuh Raya Bukit Timah (BKE) juga akan dipanjangkan bagi mewujudkan laluan terus dari Woodlands Checkpoint ke lebuh raya utama, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan-jalan tempatan terutama pada waktu puncak.
Fasa-fasa seterusnya akan melibatkan pembinaan kemudahan pemeriksaan tambahan serta menaik taraf struktur dan sistem yang sedia ada.
“ICA akan terus memanfaatkan teknologi dan membangunkan penyelesaian inovatif untuk memudahkan pergerakan rentas sempadan serta perdagangan, sambil memastikan keselamatan sempadan negara kekal terpelihara,” kata kenyataan itu.