KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaporkan sedang merancang untuk menjual portfolio hospital swasta di United Kingdom (UK) yang dianggarkan bernilai sekitar £1.4 bilion (kira-kira RM8 bilion).
Bloomberg melaporkan, menurut sumber yang mengetahui perkara itu, KWSP sudah melantik firma hartanah Knight Frank sebagai ejen untuk menguruskan penjualan 12 hartanah berkenaan.
Hospital itu yang dibeli oleh konsortium diketuai KWSP pada 2013 dengan harga sekitar £700 juta, kini dikendalikan oleh Spire Healthcare Group Plc.
Bagaimanapun, wakil KWSP dan Knight Frank enggan mengulas mengenai perkara terbabit.
Pelaburan dalam hartanah penjagaan kesihatan menunjukkan peningkatan minat tahun ini, susulan kecenderungan pelabur mencari aset alternatif yang menawarkan pajakan jangka panjang yang terikat kepada indeks inflasi.
Firma ekuiti persendirian KKR & Co sedang bersaing dengan Primary Health Properties Plc untuk mengambil alih Assura Plc syarikat pemilik premis perubatan di UK termasuk portfolio hospital swasta yang dibelinya tahun lalu pada harga £500 juta.
Sementara itu, Aedifica SA pada Selasa bersetuju untuk mengambil alih pesaingnya, Cofinimmo, sekali gus mewujudkan amanah pelaburan hartanah (REIT) penjagaan kesihatan dengan nilai aset kasar melebihi €12 bilion.
Permintaan terhadap penjagaan kesihatan swasta di UK meningkat sejak Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) negara itu bergelut mengurangkan senarai menunggu yang semakin panjang selepas pandemik.
Pada 2023, seramai 4.7 juta individu di UK memiliki insurans kesihatan swasta menerusi majikan, menurut data Persatuan Insurans British (ABI), lapor Harian Metro.
NHS juga menggunakan perkhidmatan hospital swasta untuk menjalankan prosedur tertentu. Laporan LaingBuisson mendedahkan bahawa NHS membelanjakan £2.1 bilion di hospital swasta pada tahun lalu, selain tambahan £1.5 bilion di klinik swasta.
Kerajaan UK awal tahun ini turut mengumumkan bahawa NHS akan meningkatkan penggunaan hospital swasta untuk melaksanakan lebih banyak janji temu, imbasan dan pembedahan, dalam usaha mempercepatkan rawatan pesakit.