Raja Melayu boleh main peranan satukan parti Melayu jadi dominan tadbir negara – Hamzah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Raja Melayu boleh memainkan peranan menyatukan parti Melayu untuk menjadikan kaum itu lebih dominan dalam pentadbiran negara.

Menurut Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin, sejarah membuktikan kemampuan institusi diraja menggabungkan masyarakat Melayu dari negeri berlainan dalam menentang cubaan penjajahan mutlak British menerusi Malayan Union, 80 tahun lalu.

Memetik laporan FMT, Ketua Pembangkang juga berkata, sifat feudalisme orang Melayu dengan mengangkat seorang raja yang bukan sahaja boleh memimpin tetapi boleh dipercayainya turut menjadikan peranan raja-raja lebih besar dalam penyatuan ummah.

“Jadi bila kita lihat itu dengan apa berlaku hari ini, pada saya kalau nak Melayu bersatu raja-raja harus berperanan…bercakap mengenai (penentangan) Malayan Union pada 1946 bagaimana orang Kelantan, Johor, Kedah dan semua orang Melayu boleh bergabung dan akhirnya menubuhkan Umno.

“(Itu berlaku) Apabila raja-raja berperanan di situ,” kata timbalan pengerusi Perikatan Nasional (PN), yang turut memberi senario Umno tidak tertubuh jika orang Melayu dari negeri berlainan tidak bersatu pada waktu itu.

1 Mei lalu, media melaporkan gesaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya parti Melayu memaparkan kesatuan jika mahu sokongan moral raja Melayu.

Perdana menteri keempat dan ketujuh itu juga berkata, perpecahan Melayu bukan sahaja melemahkan kaum itu malah berisiko memberi kesan kepada kedudukan institusi diraja.

Hamzah turut menyatakan kesediaan menghadap raja-raja Melayu untuk memaklumkan keadaan ketika ini, namun menekankan keperluan pihak lain bekerjasama dengannya jika diberi peranan melakukannya.

“Sekiranya semua parti-parti Melayu ini dapat bersama dengan contoh Majlis Raja-raja Melayu, saya rasa tak timbul lagi masalah pada masa depan terutama kalau dilakukan secepat mungkin.

“Insya-Allah Melayu akan menguasai negara,” kata Ahli Parlimen Larut itu.

Menyentuh soal kerjasama dengan parti bukan Melayu jika keputusan PRU16 kekal seperti pilihan raya hampir tiga tahun lalu, Hamzah berkata semua pihak perlu melihat semula perjalanan pembentukan pemerintahan Putrajaya semasa itu.

Katanya, jika Yang di-Pertuan Agong ketika itu mencadangkan PN bergabung dengan Umno, kemungkinan besar kerjasama bagi membentuk kerajaan boleh berlaku.

Namun, Hamzah berkata mereka telah berpengalaman bersama DAP dan PH, merujuk ketika bergabung dalam pemerintahan Putrajaya dari 2018 hingga awal 2020.

“Maka sebab itu, apa yang berlaku hari ini adalah sesuatu yang kita biarkan Umno dengan DAP.

“Kita tengok pemimpin mereka masing-masing bercakap, presiden cakap lain begitu juga timbalan presiden…maksudnya tiada konsensus dari segi apa gabungan mereka,” katanya.

Menurutnya, perbezaan itu dapat dilihat menerusi reaksi pemimpin Umno terhadap tempikan perang (war cry) ‘UmDAP mantap’ membabitkan Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming bersama ahli BN pada kempen PRK Ayer Kuning, baru-baru ini.

“Timbalan presiden Umno (Datuk Seri Mohamad Hasan) kata apa? Tiada gabungan. Datuk Seri Ahmad Maslan (ahli Majlis Kerja Tertinggi) pun ada bercakap.

“Mereka faham ayat gabungan itu? Kalau tiada maka tidak ada kerajaan ini,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat