KUALA LUMPUR- Rantaian drama perang mulut antara Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman memasuki episod baharu apabila Ahli Parlimen Arau mendakwa Ahli Parlimen Pasir Salak itu pernah cuba membuat gerakan menjatuhkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tahun lalu.
Shahidan mendakwa Tajuddin cuba membuat gerakan menjatuhkan Zahid sebagai presiden parti pada tahun lalu menerusi langkah mengumpul tandatangan lebih 80 Ketua UMNO Bahagian untuk menggugat jawatan Zahid.
Shahidan berkata, Tajuddin mengumpul tandatangan itu bermula tahun lalu sebelum dilantik sebagai pengarah pilihan raya.
Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis berkata, meskipun digelar dengan pelbagai ungkapan tidak baik oleh Tajuddin, namun, beliau tidak pernah sesekali cuba melakukan gerakan menjatuhkan Presiden sebagaimana dilakukan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu.
Malah, beliau juga menunggu respons Pengarah Pilihan Raya UMNO itu bagi menafikan perkara tersebut.
“Dahulu dia (Tajuddin) pernah usaha untuk jatuhkan Presiden, saya tidak pernah meskipun dilabel macam-macam. Saya tunggu beliau (Tajuddin) jawab, kemudian saya akan respons lain,” katanya memetik Utusan Malaysia.
Tajuddin dilantik menjadi Pengarah Pilihan Raya UMNO pada 4 November tahun lalu.
“Dia (Tajuddin) panggil ketua-ketua bahagian, kumpul di rumah dia untuk tandatangan SD (akuan berkanun untuk menolak Zahid),” katanya.
Selain itu Shahidan juga mendakwa pertemuan Tajuddin bersama ketua-ketua bahagian UMNO itu dibuat sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, lantaran rasa tidak puas hati beliau tidak diberi jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ia sekali gus memberi tanggapan bahawa Zahid merupakan seorang presiden yang lemah.
UMNO kini dilapor berdepan krisis dalaman susulan terdapat pertikaian berhubung kerjasama politik dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) seiring menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).