KPM Tetapkan 16 Mac Tarikh Baharu Peperiksaan Calon SPM Terjejas Banjir

- Advertisement -

KUANTAN – Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan 16 Mac ini sebagai tarikh penjadualan semula Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membabitkan 533 calon yang terjejas banjir pada awal bulan ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penjadualan semula itu membabitkan 450 calon SPM di Johor, Pahang (79) dan empat di Sarawak.

Menurutnya, ia melibatkan tiga kertas peperiksaan iaitu Ekonomi, Sains Fizik dan Sains Rumah Tangga.

“Kita akan tetap melihat kepada persediaan logistik dan cuaca semasa yang boleh mempengaruhi tarikh penjadualan semula tersebut.

“Penjadualan semula ini akan bermula 16 Mac tetapi dari semasa ke semasa itu kita akan lihat dan berdoa supaya tiada lagi pertambahan tarikh. Kita tidak mahu anak-anak diberikan tekanan dalam keadaan cuaca sebegini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pelancaran program ‘Gerakan Massa’ #terimakasihcikgu peringkat kebangsaan tahun 2023 di sebuah pusat membeli-belah di sini pada Ahad.

KPM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan sebanyak 17 pusat peperiksaan di Johor, Pahang dan Sarawak telah terjejas susulan hujan lebat sejak awal bulan ini.

Daripada jumlah itu, tujuh pusat peperiksaan tidak dapat dibuka disebabkan terputus hubungan dan jalan raya tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.

Menjawab pertanyaan mengenai sekolah-sekolah yang sering dilanda banjir, Fadhlina berkata, kerajaan akan mengambil pendekatan kepada pembinaan sekolah-sekolah baharu yang akan mempunyai reka bentuk kalis bencana yang lebih bersedia untuk menghadapi bencana seperti banjir.

“Sebab itu di peringkat KPM selain daripada kita memberi tumpuan kepada sekolah-sekolah daif dan penyelenggaraan sekolah, kita juga akan membina sekolah baharu yang kita panggil reka bentuk seismik, reka bentuk yang kalis kepada bencana.

“Kita sudah ada sekolah di Sarawak kerana persekitaran itu persekitaran bencana jadi reka bentuknya adalah seismik,” jelasnya. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat