KOTA KINABALU – Politik Sabah sedikit berkocak hari ini berikutan khabar angin berlaku pertukaran kerajaan negeri dan Ketua Menteri Sabah.
Spekulasi itu bermula malam tadi selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengeluarkan kenyataan mengenai kesediaannya untuk membuktikan keabsahan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor jika ada keperluan untuk berbuat demikian.
Kenyataan Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun itu menyebut tindakan berkenaan berikutan khabar angin bahawa ada pihak tertentu mendakwa memperoleh sokongan lebih separuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baharu.
Kerajaan baharu itu dikatakan diwujudkan menerusi kerjasama Parti Warisan (WARISAN) dan Barisan Nasional (BN) dengan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dikatakan bakal dilantik semula sebagai Ketua Menteri.
Pagi tadi, spekulasi turut tersebar kononnya Mohd Shafie dan beberapa pemimpin UMNO serta Pakatan Harapan (PH) Sabah mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, dipercayai ada kaitan dengan pertukaran kerajaan negeri dan Ketua Menteri.
Mengukuhkan lagi spekulasi itu apabila WARISAN menjemput media menghadiri sidang media Mohd Shafie pada jam 4.30 petang tadi, manakala Ketua UMNO Sabah yang juga Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dikatakan mengadakan perjumpaan bersama semua pemimpin UMNO negeri di Bangunan UMNO Sabah dan turut mengadakan sidang media.
Bagaimanapun, pada jam 6.50 petang tadi, WARISAN memaklumkan sidang Mohd Shafie ditangguhkan, manakala Bung Moktar pula terus meninggalkan Bangunan UMNO Sabah selepas selesai mesyuarat pada jam 6.30 petang tadi.
Bung Moktar yang sempat disapa pemberita hanya mengatakan tiada apa-apa yang berlaku, selain hanya mesyuarat atau pertemuan biasa bersama pemimpin UMNO negeri ketika ditanya jika ada perkara ‘besar’ yang dibincangkan.
“Tiada apa-apa hanya ‘meeting-meeting’ (perjumpaan) saja. Kami bincang mengenai masa depan parti,” katanya ketika meninggalkan Bangunan UMNO Sabah bersama pemimpin UMNO negeri yang lain.
Khabar angin pertukaran kerajaan negeri itu juga dipercayai ada kaitan dengan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kedudukan Hajiji tergugat selepas beliau bersama semua pemimpin BERSATU Sabah mengumumkan keluar parti baru-baru ini dan menjadi ahli individu dalam GRS.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar Bung Moktar, Jaafar Abd Wahid, berkata pertemuan pemimpin UMNO Sabah petang tadi adalah perjumpaan biasa bagi membincangkan hal parti di negeri ini.
“Bung Moktar juga tidak akan hadir pada sidang media bersama WARISAN seperti dikhabarkan pihak tertentu. Selepas mesyuarat, beliau terus balik untuk menghantar isteri dan ahli keluarganya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang akan menunaikan umrah.
“Ketika mesyuarat, semua pemimpin UMNO Sabah ada bersama dan tiada yang menyertai perjumpaan dengan WARISAN seperti dikhabarkan pihak tertentu,” katanya.
Ketika ini kerajaan Sabah ditunjangi GRS bersama BN atau disebut Kerajaan GRS-BN dengan 46 kerusi selain turut disokong PH Sabah sejajar pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan yang ditunjangi PH.
GRS yang merangkumi bekas ADUN BERSATU, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) mempunyai 29 ADUN termasuk tiga ADUN Dilantik.
BN pula mempunyai 17 ADUN termasuk dua ADUN Dilantik, manakala PH mempunyai tujuh ADUN, iaitu masing-masing empat DAP, diikuti dua PKR dan seorang ADUN Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Selain itu, tiga ADUN Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), seorang ADUN Bebas (Kuamut) dan seorang ADUN Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) sebelum ini turut menyatakan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Hajiji. – BH



