KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan akan menitik beratkan aspek kebajikan dan kesejahteraan warga kerja Pertahanan.
Keutamaan beliau adalah untuk memastikan, segala peruntukan yang disediakan bagi kepentingan kebajikan warga Kementerian Pertahanan (MINDEF), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan veteran dilaksanakan segera dan tidak akan dilengahkan lagi.
“Ini juga selaras dengan komitmen kementerian, dalam menjaga kebajikan warga kerja pertahanan dan veteran, seperti yang digariskan, dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP),” katanya dalam Majlis Amanat Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2023 pada Khamis.
Mohamad juga menzahirkan Hala Tuju Kementerian Pertahanan bagi Tahun 2023 meliputi pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan bagi tempoh 2021 – 2030.
“Penerbitan dokumen susulan bagi Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN), Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) dan Pelan Pelaburan Pertahanan Negara (3PN). Pelaksanaan KPP juga turut disokong Pelan Strategik MINDEF 2021-2025.
“Selain itu,usaha MINDEF dan ATM membina keupayaan dan kapasiti dalam domain siber dan elektromagnetik.
“Agenda pembangunan sosioekonomi veteran ATM akan terus diperkasakan bagi membantu veteran. Dua aktiviti yang akan diberikan perhatian khusus ialah, Peluang Kerjaya Kedua serta Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM,” ujarnya.
Menteri Pertahanan itu juga turut menyatakan bahawa penjawat awam wajar untuk melestarikan kelangsungan amalan pembudayaan integriti di dalam perkhidmatan awam.
Pada masa yang sama, beliau turut menyerahkan Zakat Wakalah kepada 100 Warga Pertahanan.



