Hanya satu kerusi di Karambunai buatkan seluruh ahli Pas bersyukur, tumbuh benih di Malaysia Timur – Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Karambunai dengan izin Allah menjadi benih pertama di Malaysia Timur yang akan mengembangkan pengaruh perjuangan Islam di tanah air kita dan menjadikannya lebih kuat.

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, meski hanya satu kerusi di Karambunai menjadikan seluruh ahli Pas bersyukur kerana percaya akan janji Allah SWT.

“Pas pernah menempa sejarah menumbuhkan benih perjuangannya walaupun satu yang kecil, tidak boleh dihancurkan oleh beberapa kali tsunami politik, akhirnya membesar dan membiak dengan jumlah yang lebih besar dan bertambah banyak.

“Bermula dengan satu kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Pertama Persekutuan prakemerdekaan pada 1955, iaitu hanya satu kerusi di Kerian Laut, Perak, kini memiliki Ahli Parlimen terbesar seramai 43 orang dan memerintah empat kerajaan negeri, di samping mempunyai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbesar di beberapa negeri dan Ahli DUN (ADUN) di semua negeri di Semenanjung Malaysia.

“Terkini, Pas tumbuh satu di Malaysia Timur menjadi benih pertama yang bertapak di buminya. Maka, kita memanjatkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah. Ada yang menangis kerana terlalu gembira dan besarnya harga kemenangan, walaupun hanya satu kerusi sahaja,” kata Hadi dalam catatan Minda Presiden Pas.

Mengulas lanjut beliau menyatakan, Pas mewajibkan baiah dan sumpah setia kepada para pemimpin, khususnya kepada mereka yang dicalonkan dalam pilihan raya supaya tidak mengkhianati perjuangan Islam. Kini, PAS berjaya menunjukkan kerajaan yang bersih daripada salah laku seperti rasuah dan khianat.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, seluruh dunia menyaksikan bahawa ideologi dan teori bertuhankan kuasa rakyat akhirnya jatuh ditolak oleh rakyat kerana sifat kelemahan yang berakhir dengan menipu rakyat.

Ujarnya, begitu juga yang bertuhankan ekonomi (harta) akhirnya tenggelam bersama kemewahan harta disebabkan nafsu mereka tidak dikawal oleh roh kerana menolak agama yang menjadi keperluan roh atau meminggirkan peranannya dalam mengawal nafsu dalam diri manusia.

Justeru kata Hadi, Allah berjanji bahawa cahaya hidayah-Nya tidak boleh dipadamkan

“Di negara kita, kerusi yang dimenangi Pas pernah berjaya dibenamkan dalam pilihan raya dan negeri yang diperintah sehingga kerajaannya dijatuhkan, namun ahli Pas terus bertambah dan gerak kerjanya terus hidup, bahkan banyak yang bangkit semula dengan lebih kuat, menandakan benihnya tidak boleh dimatikan.

“Pas tidak rebah dengan dikhianati perjuangannya, kehilangan pemimpin, atau diharamkan beberapa perjalanannya. Kini, Pas mencapai kejayaan yang lebih besar, walaupun dianggap kecil oleh musuh.

“Semua ideologi menunjukkan kelemahannya, sehingga jatuh kerajaan atau hilang pemimpin yang tidak mampu bangkit semula,” katanya.

Untuk rekod ini kali pertama Pas berjaya menawan kerusi DUN di Sabah, apabila Datuk Dr Aliakabar Gulasan menang di Karambunai.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat