KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menjangkan jangka hayat politik Umno akan hapus pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) kelak.
Bekas Perdana Menteri itu menyatakan, pemisahan Umno dari terus bersekongkol dengan DAP adalah jalan keluar untuk selamatkan Umno daripada terkubur.
“Dalam PRU -16, Umno akan hapus sama sekali.
” Yang boleh selamatkan Umno ialah pemisahan dari DAP dan kembali perjuangan untuk bangsa, negara dan agama.
“Pemimpin yang usang perlu digugurkan dan masalah Melayu perlu diperjuangkan semula. Khususnya berkenaan kemiskinan orang Melayu,” ujar beliau pada Isnin.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, Kemaman menunjukkan bahawa sokongan kepada Umno merosot lagi.
“Selagi Umno bersekongkol dengan DAP sokongan kepada Umno akan terus merosot. Semua sedar Umno bukan lagi berjuang untuk bangsa, negara dan agama. Perjuangan Umno ialah untuk duit, untuk selamatkan kepimpinan yang bersekongkol dengan jenayah.
“Lagipun pengundi Umno bukan lagi yang ketahui jasa Umno kepada negara. Mereka sudah tua dan tidak lagi aktif dalam arena politik,” ujarnya.
“Saya sedih kerana bapa yang menyelamat Umno pada satu masa dahulu, anak yang musnahkan Umno setelah mengambil alih kepimpinan,” bidas beliau.
Tegas Dr Mahathir lagi, suka atau tidak suka inilah kenyataan
“Pengundi muda dibesar setelah negara maju. Mereka berpendapat memanglah negara maju sehingga penuh dengan pencakar langit.
“Peranan Umno memajukan negara dari kemiskinan dahulu sehingga separuh maju sekarang tidak disedari oleh mereka.
“Inilah mesej Kemaman,” tegas Dr Mahathir.