Aktivis flotilla perlu segera dibebaskan – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengecam keras tindakan Israel menahan aktivis Global Sumud Flotilla termasuk rakyat Malaysia yang membawa misi kemanusiaan ke Gaza.

Beliau menegaskan bahawa misi tersebut jelas bersifat kemanusiaan kerana membawa makanan, ubat-ubatan dan barangan asas, bukannya senjata.

“Saya juga berharap mereka akan dibebaskan dengan segera. Dan saya percaya kerajaan bersedia untuk membawa mereka pulang. Kita mengecam sekeras-kerasnya tindakan yang telah dilakukan oleh Israel,” ujar Ismail Sabri yang ditemui dalam Majlis Pelancaran Larian Keluarga Malaysia 2025.

“Mereka bukan membawa senjata. Mereka membawa makanan, ubat-ubatan dan barangan lain yang diperlukan — keperluan asas untuk orang ramai,” katanya lagi.

Ismail Sabri berkata, tindakan Israel menyekat flotilla kali ini bukan sahaja mencabuli hak rakyat Gaza, malah merupakan cabaran kepada masyarakat antarabangsa.

“Walaupun sebelum ini kita tahu Israel memang mengenakan sekatan terhadap keperluan rakyat Gaza, tetapi kali ini melibatkan seluruh dunia. Bukan hanya negara kita, malah seluruh dunia,” ujarnya.

Beliau juga mengingatkan supaya Israel diberi amaran tegas, sambil menggesa Amerika Syarikat mengambil pendirian jujur dalam membantu menyelesaikan isu Palestin.

“Selagi Amerika Syarikat terlibat, isu Palestin sukar untuk diselesaikan. Jadi Amerika Syarikat perlu benar-benar jujur untuk membantu,” katanya.

Mengulas pendirian antarabangsa, beliau menyatakan sokongan terhadap tindakan beberapa negara yang mengambil langkah berani memutuskan hubungan dengan Israel.

“Semangat yang ditunjukkan oleh Turki, Sepanyol, Itali, dan terbaru Colombia, menunjukkan tindakan yang jelas. Jadi kita berharap agar kita akan terus memberi tekanan dan meminta Sepanyol untuk benar-benar putus hubungan dengan Israel, bukan separuh-separuh,” katanya.

Ismail Sabri menegaskan bahawa Malaysia sejak dahulu konsisten dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin dan akan terus bersama negara-negara lain yang sehaluan dalam isu kemanusiaan ini.- SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat