KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal Presiden Bersatu apabila disahkan menang tanpa bertanding pada pemilihan parti itu untuk sesi 2024-2027.
Manakala Datuk Seri Hamzah Zainudin yang sebelum ini merupakan Setiausaha Agung Bersatu kini diangkat sebagai Timbalan Presiden Bersatu.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Saiful Adli Arshad.
“Pengisytiharan rasmi kemenangan kedua-dua calon tunggal ini hanya dibuat selepas selesai Persidangan Bahagian-Bahagian pada 2 November ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Bersatu, pada Jumaat.
Turut hadir pada sidang akhbar tersebut ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang bertanding jawatan Naib Presiden.
Saiful Adli memaklumkan jawatan Ketua Srikandi turut menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini berikutan penyandangnya, Datuk Seri Rina Harun menarik diri, sekali gus memberi kemenangan kepada Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Dalam perkembangan sama, Saiful Adli berkata, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) telah menerima sejumlah 276 borang pencalonan bagi pemilihan di peringkat nasional membabitkan jawatan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi, Jawatankuasa Srikandi Malaysia, Jawatankuasa Armada Malaysia, Jawatankuasa Srikandi Muda Malaysia dan Jawatankuasa Sayap Bersekutu Malaysia.
“Permohonan itu kemudiannya disemak dan disaring untuk menentukan kelayakan dan keabsahan mereka untuk mengambil bahagian dalam pemilihan parti semua peringkat dan kategori jawatan mengikut peruntukan perlembagaan serta peraturan parti yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Bagi jawatan Naib Presiden Bersatu untuk memenuhi enam jawatan yang dipertandingkan, terdapat enam calon yang disahkan layak bertanding iaitu Ahmad Faizal, A’ziss Zainal Abiddin, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin, Datuk Razali Idris dan Mohd Rafiq Abdullah.
Bagi jawatan Ketua Armada Malaysia, terdapat dua pencalonan yang disahkan iaitu Muhammad Hilman Idham dan Akmal Zahin Zainal Abidin.
Sementara itu, ditanya mengenai tindakan Rina, Ahmad Faizal berkata, perkara itu perlu dijelaskan oleh Rina sendiri.
“Itu kena tanya Rina sendiri,” ujarnya.
Begitu juga bagi jawatan Naib Ketua Srikandi Malaysia, hanya satu calon yang disahkan layak bertanding iaitu Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.