Oleh Zihan Zari
SUNGAI PETANI – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) menyeru kepada masyarakat tidak kira lelaki atau wanita supaya cakna dengan isu gangguan seksual supaya berani untuk menyatakan ‘TIDAK’ kepada gangguan seksual.
Mereka mereka perlu tampil ke hadapan segera melaporkan kepada Talian Kasih 15999 atau Tribunal Antigangguan Seksual (TAGS) sekiranya mereka rasa diganggu secara seksual bagi memastikan perlakuan ini tidak dinormalisasikan.
Menterinya, Dato ‘ Sri Hjh. Nancy Shukri berkata demikian pada perasmian penutup Program Bitara INTAN: Seminar Antigangguan Seksual di Dewan Jubli Perak, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Utara (INTURA) dekat sini pada Khamis.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPWKM,
Datuk Dr. Maziah Che Yusoff; Ketua Pengarah JPW KPWKM, Hanani Sapit; dan Timbalan Pengarah INTAN, Rusli Harun.
Nancy berkata, isu gangguan seksual bukanlah isu baharu dan ianya merupakan masalah global yang tidak hanya berlaku di Malaysia merangkumi pelbagai bentuk seperti fizikal, lisan, bukan lisan, isyarat, dan visual, dan boleh berlaku di mana-mana serta kepada sesiapa sahaja.
Menurutnya, pelakuan ini seharusnya tidak boleh berlaku dan tiada ruang langsung wajar diberikan kepada gangguan seksual, sama ada secara terang-terangan atau jenaka.
Menurutnya lagi, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes gangguan seksual yang dilaporkan pada 2022 adalah sebanyak 422 kes, pada tahun lepas sebanyak 460 kes dan sehingga Ogos lalu, sebanyak 442 kes telah dilaporkan.
“Walaupun sering dikaitkan dengan lelaki terhadap wanita, hakikatnya ia juga boleh berlaku antara lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan, serta perempuan terhadap lelaki.
“Banyak mangsa enggan melaporkan kes gangguan seksual kerana stigma masyarakat, kekurangan kesedaran, dan ketakutan melibatkan pihak berkuasa serta bimbang terhadap stigma masyarakat yang sering kali menyalahkan mangsa.
“Di samping itu, mangsa tidak mempunyai kesedaran dan kefahaman berkaitan dengan gangguan seksual serta takut untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.
“Kesedaran berhubung isu ini penting kerana ianya akan meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa, bukan sahaja menjejaskan perkembangan psikologi dan fizikal mangsa malah boleh mendorong pelaku kepada jenayah seksual yang lebih serius, ”katanya.
“Peraturan larangan gangguan seksual untuk penjawat awam telah pun dikuatkuasakan melalui Peraturan 4A (1) di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993.
“Manakala sektor swasta pula, pindaan Akta Kerja 1955 pada 2022 mewajibkan setiap majikan menampal notis pencegahan gangguan seksual di premis mereka, untuk memastikan semua pekerja lebih peka dan sedar tentang isu ini.
“Selain itu, Akta Antigangguan Seksual 2022 telah dikuatkuasakan secara berperingkat mulai 28 Mac lalu,”katanya lagi.
“KPWKM juga telah membangunkan garis panduan pelaksanaan program advokasi antigangguan seksual bagi menggalakkan advokasi pencegahan dan kesedaran tentang isu ini dalam masyarakat.
“Adalah diharapkan program ini dapat meningkatkan kesedaran tentang gangguan seksual, terutama bagi ketua jabatan dan pegawai penyelia, untuk memastikan kebajikan dan keselamatan pegawai diutamakan, ”ujarnya.
Menerusi kenyataan oleh KPWKM memaklumkan, seminar ini telah dihadiri oleh seramai 750 peserta terdiri daripada ketua-ketua jabatan persekutuan dan penjawat awam negeri-negeri di zon utara iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis.
Tiga ahli panel yang mempunyai kepakaran masing-masing telah berkongsi pengetahuan berkaitan antigangguan seksual iaitu, Presiden TAGS, Syafeera Mohd Said; Pegawai Pelindung Sukan, Majlis Sukan Negara (MSN), Melissa Mohd Akhir; dan Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, DSP Suriani Hussain.
Ahli panel telah memberikan penerangan berkaitan Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840] dengan lebih jelas berhubung TAGS yang ditubuhkan sebagai satu saluran alternatif kepada mahkamah sivil untuk mengendalikan aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dan kos yang minimum.
“Penjawat awam seharusnya berperanan sebagai ejen transformasi paling hadapan dalam perantaraan antara rakyat dan kerajaan dan bertindak memberikan kefahaman dan khidmat nasihat kepada masyarakat termasuk berkaitan isu gangguan seksual, ”tambah kenyataan itu lagi.- SUARA.TV