Oleh Zihan Zari
YAN – Jabatan Perikanan (DOF) Kedah telah berjaya menahan 2 buah vesel Pukat Tunda Zon C kerana menceroboh perairan Pulau Bidan, dekat sini pada Rabu.
Pengarah DOF Kedah, Sukri Deris berkata, seramai 5 orang anggota Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan (KOPP) Langkawi turut menahan 10 orang nelayan warganegara Thailand yang bekerja di atas bot tersebut.
Beliau berkata, dianggarkan nilai sitaan bot dan peralatan menangkap ikan berjumlah RM1 juta, manakala hasil tangkapan berjumlah 600 kilogram (kg) turut dirampas dianggarkan sebanyak RM4,000.
Menurutnya, kes tersebut telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Perikanan Pejabat Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kedah untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 melakukan kesalahan cubaan menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai.
“Para nelayan diingatkan agar tidak bertindak sewenang-wenangnya menceroboh kawasan berhampiran pantai.
“Ianya akan mengakibatkan berlakunya penurunan sumber perikanan yang drastik di kawasan perairan berdekatan pantai apabila anak-anak ikan terperangkap dalam pukat tunda yang digunakan, ”katanya.
“Kawasan pesisir pantai sangat perlu dipelihara kerana ianya salah satu kawasan yang sangat penting sebagai kawasan nurseri tumbesaran anak ikan pelbagai spesies ikan marin.
“Kegiatan pencerobohan ini akan membantutkan segala usaha pihak DOF dalam memastikan sumber perikanan negeri ini senantiasa terpelihara dan diuruskan secara mapan,”ujarnya. – SUARA.TV