SOP endemik strategi buka semula kegiatan sosial, ekonomi – PM

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Masyarakat Malaysia mesti bersedia untuk tidak boleh lagi kembali kepada kehidupan normal yang ‘bebas’ seperti dahulu, sebaliknya perlu melalui perjalanan dengan definisi baharu iaitu cara terbaik untuk hidup dalam senario endemik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan virus Covid-19 tidak boleh dibenarkan terus mengganggu dan menguasai seluruh kehidupan serta masyarakat.

Untuk itu, kata beliau, kerajaan akan melaksanakan dasar yang diperlukan dalam senario ini dengan menggariskan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang lebih jelas dan dipercayai dipatuhi rakyat dengan penuh tanggungjawab.

“Sebagai menghargai pematuhan itu, Keluarga Malaysia akan menikmati penyambungan semula kegiatan sosial dan ekonomi yang ditentukan melalui strategi kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Khazanah Megratrends Forum (KMF) 2021 secara maya hari ini.

Perdana Menteri berkata, inilah masanya negara mencipta naratif baharu untuk terus menangani permasalahan sedia ada yang sama sekali tidak hilang biarpun dunia dilanda pandemik.

Kata beliau, perubahan iklim, gangguan, kekacauan dan bencana akan selalu menghantui dan serta perlu bersatu dan sepakat untuk menyelesaikannya secara berkesan.

Dalam konteks Malaysia, Ismail Sabri berkata, melalui pendekatan Keluarga Malaysia, kesemua tindakan dilaksanakan melalui kebersamaan seluruh rakyat sebagai sebuah keluarga dengan membantu sepenuhnya mereka yang memerlukannya.

“Ia tidak boleh menjadi persaingan politik tetapi harus menjadi satu tindakan kesatuan dan kerjasama nasional. Apa pun perbezaan, kita adalah satu keluarga. Setiap krisis harus mendekatkan keluarga dan ini adalah sebuah kerajaan inklusif yang mana setiap pendapat dipertimbangkan sebelum keputusan dimuktamadkan,” katanya.

Beliau yang dilantik sebagai Pengerusi Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) baharu berkata, Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober ini akan menangani segera semua isu fiskal.

Beliau berkata, belanjawan tahunan yang bakal dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mencipta sejarah apabila buat pertama kali menampilkan Kenyataan Prabelajawan yang memberi penekanan kepada cadangan dalam bajet berkenaan.

“Kerajaan akan terus berpegang pada prinsip ‘pastikan semua tidak ketinggalan’ untuk Malaysia menjadi negara maju sepenuhnya dan dapat memanfaatkan rakyat,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberitahu, Majlis Pemulihan Nasional pula memainkan peranan utama dan aktif dalam memulihkan kesihatan dan kesejahteraan ekonomi negara melalui pendekatan sosial serta inklusif untuk kebaikan Malaysia yang lebih besar dan menyusun strategi membawa negara keluar dari wabak ke dalam sebuah perancangan selamat.

“Saya telah menggariskan pelbagai strategi dan rancangan yang sedang kita laksanakan secara aktif. Melalui pelbagai dasar dan inisiatif, kita memilih menentukan masa depan secara aktif,” katanya.

– UTUSAN ONLINE

 

author avatar
Ahmad Fansuri Mohd Nasir
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat