DJI Osmo 360 II bukan sekadar kamera 360°, tetapi cara baru merakam cerita dari setiap sudut

Ada satu masalah yang sering dihadapi apabila kita merakam sesuatu yang menarik, iaitu kita terlalu sibuk memikirkan kamera sehingga terlepas momen yang sebenarnya mahu dirakam. Ketika menunggang motosikal di jalan berliku, menikmati pemandangan dari atas gunung, menyelam ke dasar air atau sekadar berjalan bersama rakan di sebuah tempat yang belum pernah dikunjungi, perhatian biasanya akan terbahagi antara apa yang berlaku di hadapan mata dengan apa yang sedang dirakam oleh kamera.

Di situlah kamera 360° mula menunjukkan kelebihan yang sukar ditawarkan oleh kamera biasa. Daripada memilih satu arah sebelum menekan butang rakaman, kamera 360° membolehkan seseorang merakam keseluruhan persekitaran terlebih dahulu dan menentukan sudut yang paling menarik kemudian. Pendekatan ini menjadikan proses merakam lebih bebas dan pada masa sama membuka ruang kreativiti yang jauh lebih luas.

DJI Osmo 360 II yang dilancarkan di Malaysia hari ini membawa idea tersebut ke tahap yang lebih tinggi apabila DJI menggabungkan teknologi rakaman panorama 360° dengan sensor HDR bersaiz 1 inci, rakaman 8K pada 60fps, teknologi AI SuperNight 2.0 serta reka bentuk lensa yang boleh diganti. Apa yang menarik, DJI tidak hanya melihat kamera ini sebagai satu lagi produk baharu dalam kategori kamera aksi, sebaliknya membina Osmo 360 II sebagai sebuah kamera yang mahu mengubah cara pengguna bercerita melalui visual.

Dengan berat hanya 183 gram, Osmo 360 II cukup ringan untuk dibawa ke mana sahaja tanpa memberikan rasa seolah-olah sedang membawa kamera profesional yang besar. Namun di sebalik saiznya yang kecil itu, kamera ini menyimpan kemampuan yang agak serius, terutama untuk mereka yang tidak mahu memilih antara kualiti gambar dengan kebebasan ketika merakam.

Asas kepada kemampuan tersebut terletak pada sensor HDR berbentuk segi empat yang dibangunkan DJI. Menurut syarikat itu, reka bentuk sensor berkenaan meningkatkan penggunaan kawasan sensor sebanyak 25 peratus berbanding pendekatan sebelumnya, sekali gus membantu mengurangkan penggunaan kuasa sambil mengekalkan kualiti imej yang bersih dan jelas.

DJI turut mendakwa Osmo 360 II mempunyai julat dinamik sehingga 14.5 stop, memberikan ruang yang lebih luas untuk menangani perbezaan antara kawasan terang dengan kawasan gelap. Perkara ini mungkin kedengaran seperti angka teknikal bagi sesetengah pengguna, tetapi kesannya lebih mudah difahami apabila kamera digunakan dalam keadaan sebenar.

Bayangkan sedang merakam perjalanan pada waktu petang apabila matahari masih terang tetapi kawasan di sekeliling sudah mula menerima bayang-bayang panjang. Kamera biasa mungkin perlu membuat keputusan sama ada mahu mengekalkan perincian di langit atau memastikan kawasan gelap masih kelihatan. Dengan kemampuan HDR yang lebih luas, Osmo 360 II cuba memastikan kedua-dua bahagian tersebut tidak terlalu mudah kehilangan perincian.

Keupayaan itu menjadi semakin menarik apabila cahaya mula berkurangan. Kamera aksi dan kamera 360° biasanya berhadapan cabaran yang lebih besar apabila digunakan pada waktu malam kerana saiz sensor, pergerakan pengguna dan keadaan cahaya yang tidak menentu boleh menghasilkan imej yang berhabuk, berbutir atau kurang jelas.

DJI cuba menyelesaikan masalah tersebut menerusi AI SuperNight 2.0, iaitu algoritma pengurangan hingar berasaskan kecerdasan buatan yang direka untuk menghasilkan rakaman malam yang lebih bersih dan terang. Digabungkan dengan piksel bersaiz 2.4 μm dan cip berprestasi tinggi, Osmo 360 II direka untuk memastikan pengguna masih boleh merakam ketika cahaya bukan lagi berada pada tahap ideal.

Bagi pencipta kandungan, kelebihan terbesar Osmo 360 II sebenarnya mungkin bukan semata-mata terletak pada kemampuan merakam dalam 8K, tetapi pada kebebasan selepas rakaman dibuat. Apabila seluruh persekitaran sudah dirakam, pengguna tidak perlu terlalu risau jika kamera pada asalnya menghala sedikit ke arah yang salah.

Ini kerana konsep kamera 360° memberikan peluang untuk memilih sudut kemudian. Satu rakaman boleh diubah menjadi beberapa perspektif berbeza, bergantung kepada bagaimana pengguna mahu menyampaikan cerita tersebut. Bahagian yang pada awalnya kelihatan seperti rakaman biasa boleh dipotong semula menjadi rakaman menghadap ke hadapan, kemudian berubah kepada sudut belakang, diikuti perspektif dari atas atau rakaman yang memfokuskan kepada subjek tertentu.

Bagi mereka yang menghasilkan kandungan untuk media sosial, fleksibiliti sebegini boleh menjadi sesuatu yang sangat praktikal. Satu perjalanan boleh menghasilkan pelbagai versi kandungan tanpa perlu mengulangi rakaman yang sama berkali-kali hanya kerana kamera tidak menghadap ke arah yang betul.

DJI turut membawa fungsi Spotlight Follow ke Osmo 360 II, membolehkan subjek dikesan dan dikekalkan di tengah bingkai walaupun kamera berputar. Bagi pengguna yang gemar menghasilkan kandungan bergerak, fungsi ini mengurangkan keperluan untuk membetulkan kedudukan subjek secara manual ketika proses penyuntingan.

Dalam keadaan tertentu, perkara kecil seperti ini sebenarnya boleh memberikan perbezaan besar. Apabila seseorang sedang menunggang motosikal, berlari, berbasikal atau bergerak di kawasan yang sibuk, bukan mudah untuk memastikan subjek sentiasa berada pada posisi yang sempurna. Dengan sistem penjejakan yang lebih pintar, pengguna boleh memberikan lebih banyak perhatian kepada aktiviti yang sedang dilakukan berbanding sibuk memikirkan komposisi setiap saat.

Untuk penunggang motosikal, Osmo 360 II juga menawarkan pendekatan yang agak menarik kerana kamera boleh dipasang pada pelbagai kedudukan untuk menghasilkan perspektif yang sukar diperoleh dengan kamera biasa. Kawalan gerak isyarat dan kawalan suara pula membolehkan rakaman dimulakan tanpa perlu melepaskan tangan daripada hendal.

Bagi seseorang yang sedang menikmati perjalanan di jalan raya, perkara ini bukan sekadar soal kemudahan. Ia berkait dengan pengalaman menggunakan kamera itu sendiri. Kamera yang memerlukan terlalu banyak perhatian boleh menjadi gangguan, manakala kamera yang membolehkan rakaman dilakukan dengan lebih mudah memberikan ruang kepada pengguna untuk benar-benar menikmati perjalanan.

Konsep sama boleh dilihat ketika kamera digunakan untuk aktiviti lasak. Osmo 360 II boleh digunakan di dalam air sehingga 10 meter tanpa perlindungan tambahan, manakala Invisible Waterproof Case membolehkan ia dibawa sehingga kedalaman 50 meter. Untuk mereka yang gemar menyelam atau melakukan aktiviti air, kemampuan ini memberikan lebih banyak kebebasan untuk membawa kamera ke dalam persekitaran yang sebelum ini mungkin dianggap terlalu mencabar.

Di kawasan bersalji pula, kamera ini direka untuk beroperasi pada suhu serendah -20 darjah Celsius. Pengguna juga boleh memulakan rakaman dengan gerakan memusingkan selfie stick sebanyak dua kali, sesuatu yang mungkin nampak seperti fungsi kecil tetapi boleh menjadi sangat berguna apabila tangan memakai sarung tangan tebal atau ketika keadaan sekeliling tidak mengizinkan pengguna mengendalikan kamera dengan cara biasa.

DJI turut menawarkan Extended Carbon Fiber Selfie Stick sepanjang 2.5 meter untuk menghasilkan perspektif yang lebih tinggi. Apabila digabungkan dengan kemampuan kamera 360°, aksesori sebegini boleh menghasilkan ilusi seolah-olah kamera sedang terbang di atas pengguna walaupun sebenarnya ia hanya dipasang pada sebatang selfie stick.

Bagi mereka yang suka berbasikal pula, sistem penstabilan kamera boleh membantu menghasilkan rakaman yang lebih lancar ketika melalui jalan yang tidak rata. DJI turut menyediakan Sports Dashboard yang boleh menampilkan maklumat berkaitan aktiviti berbasikal, menjadikan video bukan sahaja lebih menarik dari segi visual tetapi turut mempunyai elemen data yang boleh membantu menceritakan perjalanan dengan lebih lengkap.

Menariknya, DJI tidak berhenti pada rakaman video biasa. Osmo 360 II turut menawarkan kemampuan mengambil foto HDR 360° sehingga 120MP, selain rakaman timelapse 360° sehingga 16K. Ini bermakna kamera tersebut tidak hanya bergantung kepada satu format untuk menghasilkan kandungan.

Ada masa seseorang mungkin mahu merakam video perjalanan, ada ketika foto panorama lebih sesuai, manakala keadaan tertentu pula memerlukan timelapse untuk menunjukkan perubahan suasana dalam tempoh yang panjang. Semua itu menjadikan Osmo 360 II lebih dekat kepada sebuah alat penciptaan kandungan serba boleh berbanding kamera yang hanya digunakan untuk merakam aksi.

Satu lagi fungsi yang mungkin menarik perhatian pencipta kandungan ialah 64x Pano Slow Motion. Melalui DJI Studio, teknologi AI frame interpolation boleh digunakan untuk menghasilkan kesan gerakan perlahan yang sangat ekstrem, dengan DJI menyamakannya dengan rakaman yang dicrop daripada 8K/480fps. Pada masa yang sama, terdapat juga mod 8K/120fps Vortex yang direka untuk menghasilkan rakaman gerakan perlahan dengan perspektif menyelubungi subjek.

Bagi pengguna yang lebih serius terhadap proses penyuntingan, sokongan warna 10-bit dan profil D-Log M memberikan lebih banyak ruang ketika melakukan kerja pascaproduksi. Setiap format video kini menyokong kedalaman warna 10-bit, membolehkan kamera menangkap lebih satu bilion warna untuk memberikan fleksibiliti lebih besar ketika proses pembetulan warna.

Namun, sesuatu yang lebih menarik tentang Osmo 360 II ialah DJI nampaknya cuba memastikan teknologi canggih tersebut tidak menjadikan pengalaman pengguna terlalu rumit.

Kehadiran NFC pada kamera membolehkan sambungan kepada aplikasi DJI Mimo dilakukan dengan hanya satu sentuhan. Daripada perlu melalui beberapa langkah untuk menyambungkan kamera dengan telefon pintar, pengguna boleh mempercepatkan proses pemindahan rakaman atau terus menuju ke halaman penyuntingan.

Bagi pencipta kandungan yang menghasilkan bahan secara kerap, kelancaran aliran kerja seperti ini boleh menjadi sama penting dengan kualiti kamera itu sendiri. Kamera yang hebat tetapi mengambil masa terlalu lama untuk memindahkan dan menyediakan bahan untuk diedit akhirnya boleh menyebabkan proses penciptaan kandungan menjadi kurang menyeronokkan.

DJI juga menyediakan sokongan plugin untuk DaVinci Resolve, membolehkan fail video 360° yang dieksport daripada DJI Studio diimport terus ke dalam aliran kerja penyuntingan profesional. Ini menunjukkan Osmo 360 II tidak hanya ditujukan kepada pengguna biasa yang mahu memuat naik video ke media sosial, tetapi turut cuba memenuhi keperluan mereka yang bekerja dengan kandungan secara lebih serius.

Dalam masa yang sama, DJI memberikan perhatian kepada aspek ketahanan. Kamera aksi sering digunakan dalam keadaan yang tidak begitu mesra kepada peralatan elektronik, dan lensa merupakan antara bahagian yang paling terdedah kepada risiko kerosakan apabila kamera digunakan di luar.

Osmo 360 II hadir dengan reka bentuk lensa boleh ganti, selain lapisan optik ultra-keras pada kedua-dua lensanya yang direka untuk meningkatkan ketahanan terhadap calar dan kehausan. Jika berlaku kerosakan pada lensa, pengguna boleh menggantikannya tanpa perlu melihat kamera tersebut sebagai sesuatu yang sudah tidak boleh digunakan.

Bagi pengguna yang kerap membawa kamera ke kawasan lasak, pendekatan ini memberi sedikit ketenangan kerana kamera tidak lagi terasa seperti sesuatu yang perlu disimpan terlalu berhati-hati setiap masa. Ia masih perlu dijaga, tetapi reka bentuknya lebih selari dengan tujuan sebenar sebuah kamera aksi, iaitu untuk dibawa keluar dan digunakan.

Dengan storan terbina dalam sebanyak 105GB, pengguna juga mempunyai ruang tambahan untuk merakam tanpa terlalu bergantung kepada kad storan luaran. Bateri pula mampu memberikan rakaman berterusan sehingga 100 minit pada 8K/30fps, manakala pengecasan pantas boleh mencapai 80 peratus dalam masa sekitar 22 minit.

Jika tempoh tersebut masih belum mencukupi, Battery Extension Rod boleh memanjangkan masa penggunaan sehingga 180 minit lagi. Bagi mereka yang menghabiskan masa seharian di luar, terutama ketika melakukan perjalanan jauh atau aktiviti lasak, tambahan seperti ini boleh mengurangkan kebimbangan tentang bateri yang cepat habis.

Bahagian audio juga tidak dilupakan. Osmo 360 II dilengkapi susunan empat mikrofon terbina dalam bersama reka bentuk pengurangan bunyi angin untuk membantu menghasilkan suara yang lebih jelas terus daripada kamera. Lebih menarik, kamera ini turut menyokong sambungan mikrofon secara terus melalui DJI OsmoAudio, termasuk DJI Mic 3, DJI Mic 2, DJI Mic Mini 2S, DJI Mic Mini 2 dan DJI Mic Mini.

Ini menjadikan Osmo 360 II lebih sesuai untuk vlog dan kandungan bercakap kerana pengguna tidak semestinya perlu membawa sistem audio yang berasingan dan rumit setiap kali keluar merakam.

Pada akhirnya, perkara paling menarik tentang DJI Osmo 360 II bukanlah satu spesifikasi tunggal. Ia bukan sekadar soal 8K, bukan sekadar sensor 1 inci, bukan hanya AI SuperNight 2.0 dan bukan semata-mata kerana lensanya boleh diganti.

Kekuatan sebenar kamera ini terletak pada bagaimana semua ciri tersebut bekerja bersama untuk memberikan satu pengalaman yang lebih bebas ketika merakam.

Kamera biasa memerlukan pengguna menentukan apa yang mahu dirakam sebelum menekan butang. Osmo 360 II mengambil pendekatan yang berbeza kerana pengguna boleh merakam dahulu dan membuat keputusan kreatif kemudian. Dalam dunia kandungan digital yang bergerak pantas, kebebasan seperti ini boleh menjadi sesuatu yang sangat berharga.

Seorang penunggang motosikal mungkin mahu mengabadikan perjalanan tanpa perlu berhenti setiap kali melihat pemandangan menarik. Seorang pengembara mungkin mahu menyimpan keseluruhan suasana sesuatu tempat tanpa perlu memilih arah tertentu. Seorang vlogger pula boleh bergerak bersama rakan-rakan dan membiarkan kamera merakam segala-galanya sebelum menentukan cerita yang mahu disampaikan ketika proses penyuntingan.

Mungkin itulah sebabnya kamera 360° semakin menarik perhatian. Ia bukan hanya merakam apa yang berada di hadapan kita, tetapi cuba menyimpan keseluruhan pengalaman yang berlaku di sekeliling kita.

DJI Osmo 360 II kini dilancarkan di Malaysia dan akan ditawarkan dalam tiga konfigurasi, iaitu Osmo 360 II Standard Combo pada harga RM2,189, Osmo 360 II Adventure Combo pada harga RM2,629 dan Osmo 360 II Limitless Riding Combo pada harga RM2,299. Tarikh ketersediaan rasmi di Malaysia akan diumumkan kemudian pada September ini.

Dalam masa yang sama, DJI turut memperkenalkan promosi pelancaran DJI Care Refresh. Pelanggan yang membeli dan mengaktifkan produk DJI Osmo 360 II Series yang layak antara 2 September hingga 30 September 2026 akan menerima DJI Care Refresh 1-Year Plan secara percuma. Pelan ini memberikan perlindungan terhadap kerosakan akibat kemalangan termasuk kerosakan air, perlanggaran dan kehausan semula jadi, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

Osmo 360 II juga akan membuat penampilan global luar talian pertamanya di IFA 2026 yang berlangsung dari 4 hingga 8 September 2026 di Booth H20-129, Hall 20. Pengunjung berpeluang melihat sendiri kemampuan kamera 360° terbaru DJI itu dan merasai pengalaman merakam dari perspektif yang berbeza.

Daripada sebuah kamera yang hanya berada di tangan, Osmo 360 II cuba menjadi sebahagian daripada pengalaman itu sendiri. Ia kecil, ringan dan cukup lasak untuk dibawa ke pelbagai tempat, tetapi pada masa sama mempunyai kemampuan yang biasanya kita kaitkan dengan kamera yang lebih besar dan lebih kompleks.

Dan mungkin di situlah daya tarikan terbesar kamera ini. Kita tidak lagi terlalu terikat dengan persoalan kamera sedang menghala ke mana ketika sesuatu berlaku. Kita hanya perlu merakam dan membiarkan teknologi menyimpan cerita dari setiap sudut, kerana kadangkala momen terbaik bukanlah yang berada tepat di hadapan kita, tetapi sesuatu yang berlaku beberapa darjah di sebelahnya, di belakang kita atau jauh di atas kepala.

Dengan Osmo 360 II, DJI nampaknya mahu memastikan tiada lagi sudut yang terlepas ketika sebuah pengalaman sedang berlaku.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat