Jadilah hamba sempurna

- Advertisement -
Fahimi Zakaria

AL-QURAN diturunkan lebih 1,400 tahun yang lalu di Makkah sebagai panduan dakwah Rasulullah SAW, ikutan sahabat dan bimbingan buat umat manusia sehingga hari kiamat. Menurut Syeikh Said Ramadan al-Buti sebelum penurunan al-Quran, baginda menyebarkan dakwah Islam secara bersembunyi seperti mengadakan perbincangan di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam bersama sahabat seperti Abu Bakar al-Siddiq, Uthman al-Affan dan Ali bin Abi Talib. Mereka juga terpaksa solat secara bersembunyi kerana bahaya yang sentiasa menanti mereka khususnya daripada puak Quraisy. Bahkan Kaabah pada waktu itu menjadi replika patung berhala golongan Musyrikin dan tugu peringatan bagi syair-syair Jahiliah yang terpilih (Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah). Begitulah halnya perjuangan Islam pada zaman yang penuh kesukaran itu, ada yang dibelenggu dek kezaliman ketua seperti Bilal bin Rabbah dan keluarga Yasir bahkan ada yang dibunuh penuh kerakusan seperti Sumayyah binti Khabbat yang dikenali sebagai Ummu Ammar. Semuanya hanya kerana Islam yang dianuti, Muhammad yang diikuti, Allah yang ditaati.

Jika dilihat dari perspektif Barat, maka kehidupan umat pada zaman ini sebagai kehidupan yang penuh kegelapan dan kemunduran bahkan jauh sekali daripada kebebasan manusiawi. Justeru itu, segelintir umat Islam hari ini masih terpengaruh dengan kefahaman ini yang gagal memberi sudut pandang tepat tentang erti kemerdekaan. Barat menggambarkan betapa umat Islam mundur di Barat sekitar 138H-897H sedangkan zaman itu adalah zaman kegelapan Barat kerana Islam menguasai seluruh dunia Barat yang berpusat di Andalus (Tarikh al-Adab al-Arabiy).

Sebenarnya umat Islam zaman nubuwwah mereka jauh lebih merdeka berbanding umat yang hidup pada zaman ini. Kehidupan mereka jauh lebih bermakna kerana dunia mereka didampingi sosok tubuh manusia yang mulia iaitu Rasulullah SAW. Kebersamaan baginda itu sendiri dapat menghalang sebarang bentuk azab daripada Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud: “Allah tidak akan menimpakan azab ke atas golongan Musyrikin selagimana engkau bersama dengan mereka sementara orang Mukmin pula sentiasa memohon keampunan daripada Allah.” (Surah al-Anfal: 33). Imam al-Baghawi mentafsirkan ketika baginda berada di Makkah, golongan Musyrikin mencabar baginda supaya mendoakan kecelakaan ke atas mereka antaranya mereka mencabar supaya diturunkan hujan batu ke atas mereka sekiranya benar apa yang Rasulullah SAW khabarkan itu. (Maa’lim al-Tanzil)

Sesungguhnya diri baginda itu bukan hanya menyelamatkan umat Islam, tetapi semua umat manusia bahkan memberi rahmat ke seluruh alam seperti yang dinyatakan dalam al-Quran (Surah al-Anbiya’: 107). Mereka hakikatnya merdeka daripada belenggu kejahilan dan bebas kesesatan walaupun pada zahirnya mereka terpaksa menghabiskan harta benda, membahayakan diri dan sehingga mengorbankan nyawa mereka. Demi kebebasan hakiki, iaitu mencari reda Allah maka mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan ia tepat pada kehendak agama. Kebebasan atau kemerdekaan seperti inilah yang sepatutnya menjadi dambaan setiap hamba yang benar-benar inginkan kemerdekaan, iaitu apabila iman yang sejahtera, akidah yang benar dan agama yang suci.

Sememangnya Islam datang sejak dari awal dengan tujuan memerdekakan manusia daripada kejahilan dan kesesatan, lalu memuliakan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami memuliakan zuriat keturunan Adam, Kami memudahkan urusan mereka di daratan mahupun di lautan, Kami mengurniakan rezeki yang baik dan Kami melebihkan mereka daripada sekalian makhluk.” (Surah al-Isra’: 70). Al-Quran sudah cukup sebagai sebuah manuskrip sejarah Islam untuk kita mengambil pengajaran selain petunjuk sunnah yang mulia, antaranya hadis daripada Abu Hurairah RA yang menggambarkan tujuan perutusan baginda iaitu: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.” (HR Ahmad). Menurut Syeikh Ali Jumaah hadis ini menunjukkan seolah-olah baginda diutuskan hanya untuk menyempurnakan akhlak manusia, tiada tujuan lain sama sekali melainkan inilah satu-satunya tujuan perutusan baginda kepada manusia.

Maka kemerdekaan bukan hanya terbatas kepada pengertian 31 Ogos setiap tahun, tetapi Islam membawa erti dan konsep kemerdekaan yang lebih luas seperti yang dinyatakan sebelum ini. Jika kemerdekaan hanya difahami dengan erti penyerahan kuasa pentadbiran British kepada Tanah Melayu, maka kemerdekaan itu hanya laungan dan sorakan sahaja. Hamba yang merdeka mesti berusaha menjadi lebih sempurna ilmu dan amalnya sesuai dengan tujuan perutusan baginda kepada umat manusia kerana kemerdekaan itu mestilah sesuatu yang menyempurnakan hidup manusia. Kombinasi ilmu dan amal secara konsistan akan melahirkan umat yang berakhlak mulia, sopan dan berbudi bahasa. Akhlak yang sempurna lahir daripada ilmu yang benar dan amalan yang istiqamah, ini kemerdekaan sebenar dambaan hamba merdeka.

Justeru apabila umat Islam masih lalai meninggalkan solat, membuang masa melepak di kedai kopi, tidak menjaga aurat dan pemakaian yang sempurna serta masih asyik dalam dunia pergaulan bebas tanpa batasan jantina, maka sebenarnya umat Islam masih belum merdeka dalam erti kata yang sebenar. Umat Islam sedang hanyut di dalam lautan dunia yang dalam, bahkan sang pemangsa sentiasa menanti masa di dasarnya yang hanya mahu meragut kehidupan umat Islam. Akhirnya umat Islam akan mengikuti jejak langkah musuh sedekit demi sedikit, bermula dengan gaya penampilan, percakapan, pengamalan dan akhirnya pegangan agama. Ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW menerusi hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri RA yang bermaksud: “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat terdahulu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka memasuki lubang biawakpun kamu akan mengikuti mereka jua,” lalu sahabat berkata, “Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani?” jawab Rasulullah SAW, “Siapa lagi kalau bukan mereka.” (HR Muslim)

Memahami hakikat ini, umat Islam hendaklah bangkit dan menterjemahkan erti sebenar kemerdekaan. Biarpun British meninggalkan kita sejak 63 tahun yang lalu, namun usaha dan kesungguhan untuk memerdekakan diri daripada kejahilan agama hendaklah sentiasa diperkemaskan. Ilmu hendaklah dipelajari dan difahami secara berperingkat, menurut Syeikh Yusuf al-Qaradawi ilmu itu agama manakala agama itu ilmu, kedua-duanya tiada pertembungan seperti yang berlaku dalam agama-agama lain di dunia. (Piagam Kefahaman Islam)

Semoga ulang tahun kemerdekaan Malaysia tercinta yang ke-63 ini akan memberi makna besar dalam diri setiap hamba yang beriman. Marilah bersama kita melipatgandakan usaha dan kesungguhan kita untuk membebaskan diri daripada sikap negatif yang merosakkan perpaduan nasional, sentiasa menghormati perbezaan yang wujud dalam kehidupan bermasyarakat, bertolak ansur dalam usaha melahirkan anak watan yang patriotik. Kemerdekaan bermula daripada diri setiap individu. Jika individu melahirkan sebuah keluarga dan masyarakat yang berilmu, maka umat Islam semua akan menjadi utusan atau duta kepada semua rakyat Malaysia. Apabila umat Islam berilmu, maka negara akan diberkati seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Negeri yang baik dan mendapat keampunan Tuhan.” (Surah Saba’: 15)

Penulis pensyarah di  Management & Science University (MSU)

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat