Kongsi rezeki usaha murni

- Advertisement -

MENYANTUNI golongan asnaf ketika penularan wabak Covid-19 sememangnya amalan yang wajar dipuji kerana mereka antara yang terkesan teruk.

Bagi pelawak dan pelakon Bell Ngasri, dia menyokong usaha mengagihkan daging korban kepada golongan asnaf dalam satu program Korban Untuk Ummah anjuran Yayasan Maghfirah.

Kata Bell, cara itu adalah langkah murni dalam masa sama dapat berkongsi rezeki.

“Agihan daging korban kepada asnaf adalah satu perkara yang baik untuk dilakukan kerana golongan ini memerlukan bantuan.

“Kita tidak tahu, mungkin mereka dah lama tak makan daging, nak beli pun mahal.

“Jadi, pandangan saya apa yang dilakukan Yayasan Maghfirah patut dipuji. Bila kita agihkan daging korban, maknanya kita bagi bantuan. Ia satu hal yang murni.

“Saya menyokong dan bersama-sama dengan yayasan ini melakukan kerja agihan daging kepada golongan asnaf,” katanya.

Bell yang bertindak selaku duta kempen Korban Untuk Ummah berkata, inisiatif yang dilakukan dapat membantu meringankan beban yang ditanggung golongan kurang berkemampuan.

“Ramai yang terkesan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sehingga ada antara mereka yang tidak boleh bekerja dan hilang punca pendapatan.

“Justeru, saya berpendapat bahawa sangat wajar bantuan sebegini diberikan kepada mereka yang memerlukan pada masa yang tepat,” katanya.

Baru-baru ini, pihak Yayasan Maghrifah menyantuni golongan memerlukan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Klang.

Sebanyak 40 lembu dan 10 kambing yang dibeli oleh penyumbang yayasan itu dikorbankan dan diagih kepada asnaf seperti ibu tunggal, anak yatim, dan orang kurang upaya (OKU) dalam negara.

Setiap keluarga asnaf berkenaan menerima satu kilogram daging korban. Projek Korban Untuk Ummah ini turut dilaksanakan di beberapa negara luar iaitu Makkah, Afrika, Indonesia, Mesir dan Kemboja untuk golongan asnaf Muslim di sana.

Pengurus Besar Yayasan Maghfirah, Aulia Rahman berkata, dia berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan golongan memerlukan.

“Bagaimanapun, kami menyasarkan untuk mengutamakan korban di dalam negara kerana waktu pandemik ini ramai yang terkesan.

“Kami sangat berterima kasih kepada perhatian rakyat tempatan yang peduli dengan nasib saudara kita yang memerlukan dengan membuat korban di dalam negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Bell juga memaklumkan banyak baki penggambaran yang terpaksa ditangguhkannya hingga dia terpaksa melakukan kerja lain.

“Disebabkan penularan pandemik Covid-19 ini belum surut, saya tidak boleh menjalankan program penggambaran mahupun mengacarakan majlis di luar.

“Tetapi, saya ada melakukan kerja lain seperti membuat parodi, rakaman suara iklan dan promosi serta ‘review’ di media sosial,

” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat