KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen berlatar belakang bidang kejuruteraan dijangka dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam dalam masa terdekat, bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut selepas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang meletakkan jawatan, berkuat kuasa hari ini.
Utusan memetik sumber melaporkan, pengumuman dijangka akan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum sidang Dewan Rakyat bermula pada 21 Julai ini.
“Kekosongan itu perlu diisi kerana hanya menteri Kabinet yang layak untuk membuat keputusan dalam sesuatu dasar bagi sesebuah kementerian.
“Ini bermakna, jika wujud kelompongan, maka sukar untuk sesebuah kementerian berfungsi dengan baik,” katanya.
Kata sumber itu, kekosongan tersebut perlu diisi oleh menteri daripada PKR memandangkan sebelum ini Nik Nazmi adalah daripada parti yang sama.
Selain itu katanya, ia mengambil kira pengisian jawatan menteri perlu melihat aspek kepelbagaian bangsa bagi melengkapkan semua komuniti di Malaysia.
Ia ekoran terdapat suara-suara yang mempertikai Kabinet yang tidak merangkumi semua bangsa meskipun sudah hampir tiga tahun mentadbir negara.
Selain itu tambahnya, pengisian jawatan itu juga perlu mengambil kira heirarki dalam parti bagi mengekalkan kestabilan parti dan kerajaan.
“Sebab itulah pemilihan diadakan, ia bertujuan bagi meletakkan mereka yang benar-benar layak memimpin parti serta boleh membawa aspirasi negara,” katanya.